Wednesday 4 January 2012

Halal Malaysia VS Halal Swasta

IPOH: `Perang' antara syarikat pengeluar sijil palsu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kian 'panas' apabila pihak syarikat itu mendakwa Jakim tiada kuasa sah mengambil tindakan undang-undang bermula 1 Januari 2012.

Melalui kenyataan rasmi di laman web, syarikat itu seolah-olah memperlekehkan kuasa Jakim itu.

Malah pemilik syarikat mendakwa, sijil halal swasta dikeluarkan mereka memenuhi syarat piawaian MS 1500:2009 (M), makananhalal bagi pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan.




Pihak syarikat swasta itu mendakwa sijil halal dikeluarkan mereka masih sah laku dan boleh diguna pakai tanpa rasa ragu-ragu oleh peniaga dan pengusaha syarikat makanan yang membelinya.

Kenyataan ini bagaimanapun disanggah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff yang memberitahu pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 (Pindaan 2011) Julai lalu berhubung pengharaman sijil halalswasta adalah jelas dan mutlak.

Menurutnya, syarikat swasta terbabit cuba memutar belit fakta mendakwa pindaan itu mempunyai kelemahan dan mereka tidak boleh dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

"Kenyataan itu boleh mengelirukan pihak syarikat dan pengusaha makanan yang menyangka APD akan dikuatkuasa 1 Januari kelak tidak membabitkan mereka.

"Biar apapun alasan diberikan, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan tetap diambil terhadap sijilhalal swasta, palsu atau sijil halal luar negara yang tidak diiktiraf Jakim," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Menurut Hakimah, rata-rata syarikat pengusaha makanan sudah diberi peringatan supaya tidak lagi menggunakan sijil halal tidak diiktiraf berkuat kuasa 1 Januari 2012.

Difahamkan, syarikat swasta mengeluarkan sijil halal tidak sah itu sudah diberi amaran berulang kali oleh Jakim namun masih berdegil dan terus mengeluarkan sijil halal swasta berkenaan.

Lebih membimbangkan apabila sijil halal swasta itu dimiliki oleh kebanyakan syarikat atau restoran makanan bukan Islam yang diragui kandungan makanan dijual.