Tuesday 31 January 2012

Bukan untuk kedai makan




 Sebuah syarikat pengeluar sijil halal tidak sah menghantar surat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kerana didakwa tidak menepati janji ketika melakukan operasi.

Surat sama turut dihantar ke pejabat Majlis Agama Islam setiap negeri dengan mendakwa Jakim sengaja mengambil tindakan keras kepada pemilik syarikat atau peniaga yang masih menggunakan sijil halal tidak sah itu tanpa memberi peluang sewajarnya.


Sumber Jakim berkata, berdasarkan kandungan surat itu, pemilik syarikat terbabit mendakwa pihak Jakim tidak mempunyai hak untuk merampas atau menanggalkan logo halalswasta berikutan mereka diberikan kelonggaran selama setahun sebaik Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) dan PersijilanHalal dikuatkuasakan sepenuhnya 1 Januari lalu.

"Pihak pengeluar sijil swasta ini mungkin salah faham kerana kelonggaran selama setahun ini hanya diberikan kepada syarikat pengeluar makanan yang sudah melakukan pembungkusan menggunakan logo halal swasta itu.

"Syarikat pengedar atau pembungkusan makanan diberikan tempoh setahun untuk menghabiskan stok sedia ada sebelum menukarkannya kepada logo halal Jakim," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran itu tidak diberikan kepada premis makanan, restoran atau medan selera yang mempamerkan logo halal swasta atau palsu.

"Pihak penguat kuasa Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang melakukan pemantauan akan terus mencabut atau menanggalkan logo tidak sah ini serta-merta.

"Tiada pengecualian kepada premis makanan atau restoran ini kerana dibimbangi ia boleh mengelirukan pengguna terutama orang Islam," katanya.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan pengeluar sijil halalberada dalam keadaan tersepit dengan penguatkuasaan APD 2011 itu yang dilakukan secara besar-besaran.

"Pihak Jakim tidak akan melayan sebarang rayuan berikutan pemilik syarikat sijil swasta itu hanya memikirkan keuntungan semata-mata selepas dipercayai mengaut ratusan ribu ringgit hasil pengedaran sijil tidak sah sejak sekian lama.