Friday 6 January 2012

Perang Logo Halal Palsu




KUALA LUMPUR: Premis yang masih menggunakan logo halalswasta dan tidak diiktiraf dinasihatkan supaya bertindak bijak dengan memohon pensijilan halal baru daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (Main).

Langkah itu perlu berikutan logo halal memegang peranan besar dalam menentukan tahap kebersihan pembuatan dan penghasilan sesuatu produk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata buat masa ini pihaknya memberikan tempoh masa peralihan setahun bagi produk yang siap dibungkus atau sudah berada di pasaran untuk menggunakan logo halal.

"Kita menggunakan pendekatan kempen pelbagai bentuk bagi mendidik industri supaya menyedari kepentingan logo halaldalam memperkasakan perniagaan mereka.

"Ini kerana logo halal sendiri berperanan sebagai nilai tambah terhadap produk yang dikeluarkan pengusaha," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran HalalAkta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, Ketua Pengarah Ikim Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin.

Menurut Jamil, pihaknya juga menggalakkan semua pengusaha yang masih belum memiliki sijil halal supaya membuat permohonan secara sukarela bagi meyakinkan pengguna terhadap tahap kualiti dan kebersihan produk dikeluarkan.

"Kita tidak mahu terlalu memaksa...namun dalam masa sama, Jakim tetap akan bertegas menurunkan logo halal swasta atau tidak sah yang dipamerkan di restoran, medan selera atau premis makanan.

"Tindakan sebegini diambil bagi menjaga kepentingan pengguna sekali gus memberi peringatan kepada peniaga bahawa mereka dilarang sama sekali mempamerkan logo halal selain yang dikeluarkan Jakim atau Main," katanya.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, bermula Ahad lalu hanya logohalal dikeluarkan Jakim dan Main saja boleh digunakan susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diluluskan Parlimen pada 11 Julai lalu.

"Setakat ini, seramai 62 pegawai Jakim sudah dilengkapi latihan khusus oleh pegawai penguat kuasa KPDNKK sebagai persiapan untuk menguatkuasakan APD 2011," katanya.