Thursday 30 June 2011

Hukum Pemerdagangan Manusia







Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Pemerdagangan Manusia. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa manusia merupakan makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah s.w.t dan tidak diciptakan untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain.
 
ii. Oleh yang demikian, pemerdagangan manusia yang melibatkan berbagai eksploitasi seperti pelacuran, perhambaan dan sebagainya adalah bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.
 
iii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memperdagang dan mengeksploitasikan manusia dalam pelbagai bentuk yang menyalahi hukum syarak adalah diharamkan oleh Islam.
 

Wednesday 29 June 2011

Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food)





Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia serta meneliti hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa makanan terubahsuai secara genetik melibatkan pemindahan gen-gen yang halal dan juga tidak halal, dari haiwan dan juga tanaman bagi memberikan ciri-ciri yang dikehendaki sebagai makanan atau ubat-ubatan.
     
  2. Dalam hal ini Muzakarah berpandangan bahawa Islam menghendaki umatnya supaya memilih makanan yang baik (toyyib) iaitu halal,suci dan tidak memberi mudharat kepada jiwa dan akal manusia dan proses penghasilannya juga tidak memberi mudharat kepada manusia dan alam sekitar.
     
  3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam penghasilan Makanan Terubahsuai Genetik (GM Food), penggunaan bahan-bahan yang diharamkan dan memudaratkan manusia serta alam sekitar adalah dilarang. Manakala penggunaan haiwan ternakan yang halal dibolehkan sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut kaedah syarak.
     

Tuesday 28 June 2011

Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay)

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan (khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.

Friday 3 June 2011

Karnival Halal Kelantan Berjaya

KOTA BHARU 30 Mei - Karnival Halal Kelantan 2011 yang berakhir hari ini, berjaya mencapai sasaran apabila menarik kedatangan lebih 50,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, dengan kejayaan itu pihaknya bercadang menganjurkan karnival lebih besar pada tahun hadapan dengan melibatkan peserta dari negara ASEAN, sekiranya mempunyai dana dan penaja mencukupi.
Beliau berkata, pelbagai program menarik telah diadakan sepanjang karnival tiga hari itu dan mendapat sambutan luar jangkaan daripada pengunjung.
Antara program yang mendapat sambutan ramai ialah uji bakat program Adik-Adikku Musim Ketiga, rakaman Forum Perdana Ehwal Islam dan persembahan dikir barat.
Katanya, sebanyak 80 gerai pameran dan jualan produk serta perkhidmatan telah diadakan sepanjang karnival berkenaan yang perasmiannya telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

"Rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan bahawa program ini amat berfaedah, berinformasi dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, terutama bagi mengisi masa lapang cuti sekolah.
"Selain itu, para usahawan juga sangat berpuas hati dengan hasil jualan mereka dan merasakan pelaburan menyewa gerai tidak sia-sia," katanya di sini, hari ini.
Karnival halal itu anjuran bersama JHEAIK dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Che Mohd. Rahim seterusnya mengucapkan penghargaan kepada penganjur dan media, terutama akhbar Kosmo! yang telah banyak membantu mempromosikan karnival tersebut sejak sebulan lalu.

STATUS SIJIL HALAL RANGKAIAN CAFE SECRET RECIPE


ADALAH DIMAKLUMKAN BAHAWA RANGKAIAN CAFE SECRET RECIPE MERUPAKAN PEMEGANG SIJIL HALAL MALAYSIA YANG SAH IAITU BERMULA 1 MEI 2009.
 
sumber: www.halal.gov.my