Friday 20 January 2012

Bank Susu Haram




Kementerian Kesihatan menghormati keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang mengharamkan penubuhan bank susu ibu seperti dicadangkan pihak tertentu, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata walaupun cadangan itu baik terutama dalam menggalakkan penyusuan susu ibu seperti disaran kerajaan, unsur agama khususnya yang berkaitan dengan keturunan atau nasab wajar dipatuhi.


Beliau berkata, kementeriannya akur dengan keputusan itu dan bersetuju perkongsian susu ibu menerusi penubuhan bank susu boleh menimbulkan kecelaruan dari segi menentukan nasab seseorang kerana anak perlu mengenali ibu susu mereka.

"Jika bank susu ibu diwujudkan, kita tidak tahu siapa yang memberikan susu itu dan kepada siapa ia diberikan. Masalah akan timbul jika anak yang menerima susu daripada ibu yang sama ingin berkahwin kerana dalam Islam, saudara sesusu tidak boleh berkahwin.

"Dari segi kesihatan, jika bank itu diwujudkan, kita menghadapi kesukaran memantau siapa yang menderma susu. Kita tidak tahu keadaan kesihatan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan di Dewan Masyarakat Lok Kawi di sini, semalam.