Tuesday 31 January 2012

Tender Makmal Kajian Halal




BUTTERWORTH: Kerajaan akan mengeluarkan tender pembinaan makmal kajian halal di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, makmal itu amat penting kerana mengkhususkan kepada kajian berkaitan halal, kerana ketika ini kerajaan menggunakan makmal halal, di Petaling Jaya.

Fasa pertama makmal itu dijangka menelan kos sebanyak RM27 juta.


"Kerajaan akan keluarkan tender tidak lama lagi dan kerja pembinaan dijangka mengambil masa dua tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sarung kapsul kosonghalal keluaran Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengarah Urusan Nasmir Hard Gelatin, Kadhar Shah Abdul Razak.

Kilang itu yang beroperasi sejak 2008, kini mengeluarkan lima juta sarung kapsul sehari untuk pasaran tempatan dan eksport.

Sehingga kini, syarikat itu sudah melabur sebanyak RM35 juta dan adalah satu-satunya syarikat Bumiputera di Malaysia yang mengeluarkan sarung kapsul halal.

Sementara itu, Kadhar Shah berkata, sehingga kini, masih terdapat banyak lagi syarikat tempatan yang mengimport sarung kapsul dari luar negara, walaupun status halal produk itu tidak disahkan dan diragui.

Sehubungan itu, beliau berharap syarikat berkenaan dapat menggunakan sarung kapsul keluaran syarikatnya yang menggunakan gelatin daripada haiwan yang disembelih secara sah, selain produk itu menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).