Friday 27 February 2009

Kembalikan Kuasa Keluar Sijil Halal Kepada Jakim

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Seorang Anggota Parlimen meminta kerajaan mengembalikan semula kuasa sepenuhnya untuk mengeluarkan sijil halal kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang kini diberi kepada sebuah syarikat swasta, Halal Development Corporation (HDC). Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling) berkata sijil halal yang dipamerkan di beberapa premis perniagaan di medan selera, kopitiam dan restoran pada masa ini boleh diragui kerana ia dikeluarkan oleh pihak swasta yang didakwanya berorientasikan perniagaan semata-mata. "Saya mendesak kerajaan pulangkan balik kuasa halal haram ini sepenuhnya kepada Jakim. Jakim yang berautoriti supaya tidak ada syarikat yang ambil kesempatan untuk mengaut keuntungan," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini. Katanya, logo halal pada masa kini mudah didapati dengan hanya membuat pembayaran sebanyak RM2,000 hingga RM3,000. Taib Azamudden berkata ketiadaan Akta Halal turut menyukarkan pengguna Islam membuat pengaduan. Beliau turut membangkitkan penggunaan ayat-ayat Al-Quran secara berleluasa di restoran-restoran milik bukan Islam yang digunakan semata-mata untuk menarik pelanggan beragama Islam. "Umat Islam melihat keadaan ini dengan cukup sensitif. Apa yang saya faham tidak ada Akta yang melindungi kesucian ayat-ayat ini. Ayat-ayat Al-Quran juga bebas dicetak oleh orang lain yang tidak tahu bagaimana untuk memelihara kesucian ayat-ayat itu," katanya.