Wednesday 10 February 2010

JAKIM mendepani isu Halal

 Dipetik dari ;
Masyarakat pengguna Islam di negara ini sering berdepan dengan pendedahan media berhubung keraguan halal sesuatu produk di pasaran.
Memandangkan isu halal ialah isu penting khususnya bagi yang beragama Islam, wajar bagi mereka mendapat maklumat yang betul mengenai kehalalan sesuatu produk baik untuk dimakan, diminum atau digunakan.
Dalam mendapatkan hak itu, sudah tentunya juga maklumat halal perlu dinyatakan secara jelas pada pembungkusan produk.


"Rungutan pengguna juga melibatkan status halal di restoran dan kedai makanan khususnya yang dimiliki orang bukan Islam.
"Demikian juga status halal makanan di hotel yang sering dikunjungi orang Islam," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dalam mengulas isu halal ini kepada Bernama.
Beliau menarik perhatian kepada perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim)di mana sehingga Mei 2009, hanya 27 atau 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di Malaysia yang memperoleh sijil halal Jakim untuk dapur utama mereka.
PERATURAN BERKAITAN HALAL
Mohd Yusof juga memberitahu bahawa pada masa ini terdapat beberapa peraturan berkaitan dengan halal yang terletak di bawah bidang kuasa pelbagai pihak.
Satu daripada peraturan itu ialah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Beliau berkata lagi satu peraturan yang boleh digunapakai ialah Akta Makanan 1983 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, antaranya yang berkaitan makanan mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia dan pelabelan palsu.
Katanya isu halal juga boleh ditangani melalui Perintah (Pengimportan)Haiwan 1962, Kementerian Pertanian dan Asas Tani iaitu peraturan yang menetapkan ternakan yang diimport hendaklah disembelih mengikut cara Islam dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Mohd Yusof menjelaskan peraturan berkaitan halal di Malaysia lebih kepada bersifat sukarela.
Tambah beliau, setakat ini tidak terdapat peraturan yang mewajibkan pengeluar atau pengedar produk mendapatkan pensijilan halal.
"Pengeluar atau pengedar produk makanan sendiri yang menentukan sama ada mereka ingin memohon pensijilan halal atau pun tidak.
"Justeru, persatuan pengguna telah lama meminta agar diwujudkan sebuah akta yang khusus berkaitan halal, yang mewajibkan pengeluar dan pengedar mendapatkan pensijilan halal sekiranya mereka ingin memasarkan produk termasuk makanan kepada orang Islam.
"Semasa pembentangan Bajet 2010, Perdana Menteri ada menyebut kerajaan akan menggubal Akta Halal yang dijangka dikuatkuasa tahun ini (2010). Sehingga Akta itu wujud, maka peraturan berkaitan halal masih dalam keadaan yang ada sekarang," kata Mohd Yusof.
SERING DIKELIRUKAN
Berdasarkan kepada laporan dan pembongkaran media, pengguna Islam ternyata sering menjadi mangsa kerakusan segelintir peniaga atau pengilang yang dengan sengaja menggunakan label halal sendiri atau sijil halal yang tidak diiktiraf.
Golongan itu sama ada tidak peka atau tidak mengambil berat tentang kepentingan produk halal bagi orang Islam.
Menurut Mohd Yusof, hakikatnya ialah sebahagian besar daripada pengeluar atau pengedar produk termasuk makanan, terdiri daripada orang bukan Islam.
Ada di antara mereka, katanya tidak begitu menitikberatkan proses pengeluaran yang menepati keperluan hukum Syarak.
Beliau berkata segelintir peniaga atau pengedar meletakkan label halal sekadar untuk melariskan produk.
Bukan itu sahaja, katanya, ada juga restoran bukan Islam yang meletakkan poster ayat al-Quran atau menggunakan pekerja Islam untuk menunjukkan bahawa makanan yang disediakan di restoran itu, halal.
"Peraturan yang ada pada masa ini hanya membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan sekiranya pengeluar atau pengedar meletakkan label halal pada produk mereka.
Jika didapati mereka menggunakan bahan yang tidak halal, maka boleh diambil tindakan dibawa Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975 ) denda sehingga RM200,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
"Jika sesuatu produk itu tidak terdapat label halal atau restoran tidak meletakkan label halal atau bahan yang digunakan untuk memproses produk tersebut atau penyediaan makanan di restoran itu tidak menepati hukum Syarak, maka tindakan penguatkuasaan tidak boleh dilakukan," jelas Mohd Yusof.
Dalam apa jua keadaan, beliau menasihatkan pengguna Islam supaya tidak bersikap sambil lewa dalam menangani isu halal.
Pengguna Islam, katanya perlu selalu berwaspada, serta memastikan setiap makanan atau produk yang dibeli atau restoran yang dikunjungi mempunyai logo halal yang kini sudah diseragamkan dan dikeluarkan oleh Jakim.
"Jangan hanya melenting dan bertindak memulau produk bila media membuat pendedahan atau pembongkaran. Lepas itu beli balik produk ," katanya.
Beliau turut menegur sikap sesetengah pengguna Islam yang masih terus mengunjungi restoran bukan Islam yang tidak mempunyai persijilan halal atau membeli makanan daripada penjaja kecil bukan Islam terutama di pasar-pasar malam.
EKONOMI ISLAM
Produk halal tidak dinafikan mempunyai pasaran yang luas bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara khususnya di negara Timur Tengah.
Berdasarkan perangkaan 2008, pasaran halal global dilaporkan mencecah sekitar USD580 bilion.
Permintaan produk halal yang tinggi menyebabkan ramai pengusaha termasuk bukan Islam berlumba-lumba ingin mendapatkan pensijilan halal Malaysia.
Secara rasionalnya, kata Mohd Yusof, pengusaha Islam perlu mengambil peluang daripada potensi produk halal yang besar.
Bagaimanapun, beliau berkata pengusaha kecil dan sederhana (IKS) mungkin menghadapi masalah untuk mendapatkan sijil halal yang pada masa ini dikeluarkan sama ada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Pensijilan Halal Malaysia, kata beliau dikeluarkan antaranya berdasarkan standard bagi makanan halal iaitu Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum (MS15000).
Beliau berkata satu daripada keperluan di bawah manual dan standard ialah mematuhi peraturan asas Amalan Pengilangan Baik (GMP).
"Pengeluar yang mempunyai kilang pemprosesan yang besar dan menggunakan mesin tidak mempunyai masalah dalam hal ini.
"Yang ada masalah ialah pengusaha kecil, contohnya pengusaha kerepek. Mereka gagal mendapatkan GMP dan HACCP kerana tidak memenuhi keperluan kebersihan," katanya.
HALAL MALAYSIA
Bagi sesetengah pengguna, khususnya yang beragama Islam, mereka mungkin peka dengan keperluan kehalalan untuk produk makanan, minuman atau yang digunakan.
Bagaimanapun, atas alasan tersendiri, mereka mungkin bergantung sahaja kepada label halal (yang dieja) atau logo halal tanpa membuat semakan lebih lanjut.
Ada juga yang asalkan nama produk mempunyai nama yang boleh diterima, tanpa banyak soalan akan terus membeli produk berkenaan.
Bagi yang mungkin merasa was-was dan mahu mendapatkan keyakinan, mereka boleh menghubungi persatuan-persatuan pengguna, Jakim atau JAIN.
Jakim umpamanya mempunyai Portal Halal Malaysia www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.
Menurut Penolong Pengarah Jakim, Raja Mohd Alias Raja Ali, Portal Halal Malaysia yang dilancarkan pada 2007 turut bertindak sebagai pusat sehenti.
"Portal ini dilengkapi dengan ruangan info halal, direktori halal, kemudahan aduan dan capaian ke atas sistem permohonan Sijil Halal Malaysia," katanya.
Di bawah Direktori Halal, umpamanya, orang ramai boleh menyemak maklumat sijil halal yang dikeluarkan, sama ada untuk produk gunaan, premis makanan atau pusat sembelih.
Direktori itu menyediakan kemudahan carian halal berdasarkan kod bar, deskripsi produk dan nama syarikat yang telah mendapat sijil halal Malaysia.
Bagi memenuhi kemudahan orang ramai, senarai badan Islam luar negara yang diperakukan bagi pensijilan halal juga disediakan.
Raja Mohd Alias turut berkata portal itu juga menyediakan senarai hotel yang mendapat pengesahan halal, fatwa halal, glosari, aditif makanan dan pelbagai lagi.Jakim, tambahnya, sedang dalam proses mengemas kini portal halal itu supaya lebih mesra penguna dan industri.
LAGI KEMUDAHAN
Bagi orang ramai yang ingin mengajukan aduan berkaitan halal, mereka juga boleh mengemukakan aduan secara on-line di Portal Halal Malaysia.
"Pihak Jakim memandang berat kepada setiap aduan yang dibuat dan akan menjalankan siasatan dan tindakan segera dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima dan email akan dijawab dalam tempoh tiga hari bekerja selepas dikemukakan kepada pegawai perhubungan awam Jakim," kata Raja Mohd Alias.
Jakim turut menyediakan perkhidmatan semakan HALAL MALAYSIA menerusi perkhidmatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Semakan itu merangkumi semakan status halal produk, premis dan rumah sembeliahan yang mendapat sijil Halal Malaysia.
Apa yang perlu dilakukan, untuk menyemak status halal ialah taip halal (nombor kod bar) dan hantar kepada 32728.
Dalam tempoh yang singkat, jawapan akan diterima sama ada Sijil Sah atau Sijil Tamat Tempoh atau Tiada Dalam Senarai.

No comments: