Thursday 6 February 2014

Logo Halal Palsu

Md Nasir menunjukkan bungkusan bebola ikan yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf dalam serbuan yang dibuat di kawasan perusahaan Juru semalam.
Guna logo halal tak sah 
BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang industri kecil sederhana (IKS) memproses bebola ikan diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) berikutan penggunaan logo halal tidak diiktiraf pada bungkusan bebola ikan semalam.

Pegawai Penguat kuasa Daerah (SPT), Md Nasir Mohamad berkata, serbuan dibuat di kawasan perusahaan Juru itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada jam 11.30 pagi.


“Pemeriksaan yang dibuat seramai sembilan penguatkuasa mendapati pengeluar masih menggunakan logo halal yang dikeluarkan pihak swasta dengan alasan tidak menyedari bahawa ia merupakan satu kesalahan.

“Justeru, bungkusan yang ada dirampas manakala pengeluar diarahkan untuk menarik balik kesemua produk yang menggunakan logo terbabit berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Difahamkan, produk tersebut merupakan jenama popular malah mendapat permintaan tinggi melalui pasaran terutamanya hotel-hotel di negeri ini.

Beliau berkata, hanya Jakim agensi yang dilantik sebagai badan berwibawa bagi perakuan pengesahan status halal bawah peraturan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

“Tiada lagi penggunaan logo halal lain yang dikeluarkan oleh pihak swasta boleh digunakan dan pengusaha serta peniaga disaran memperbaharui logo lama kepada logo halal yang baru.

“Jika sabit kesalahan, pengeluar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 200,000,” katanya.