Wednesday 9 April 2008

HDC Bukan Ambil Kuasa JAKIM

HDC Bukan Ambil Kuasa Jakim, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) yang akan bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal bukan bermaksud untuk mengambil alih kuasa daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Beliau berkata sebaliknya hal berkaitan pengeluaran sijil halal dan promosi produk halal akan diletakkan di bawah satu bumbung bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat antarabangsa. "Apabila HDC menggunakan logo halal yang selama ini dikeluarkan oleh Jakim maka ini bukanlah pengambilalihan kuasa oleh HDC daripada Jakim. "Sebaliknya untuk diletakkan sebagai sebuah one-stop agency yang menggabungkan Jakim, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Halal Forum dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari Sabtu. Semalam, Ahmad Zahid berkata HDC akan mengambil alih peranan MITI dari segi mempromosi, memasar dan mengadakan pameran produk dan perkhidmatan halal. Rabu lepas, HDC diberi mandat oleh Kabinet untuk mengambil alih peranan Jakim bagi mengeluarkan sijil-sijil halal di negara ini. HDC juga bertanggungjawab mengeluarkan sijil-sijil halal antarabangsa. Ahmad Zahid berkata peranan baru HDC itu juga tidak menjejaskan proses pengeluaran sijil halal peringkat negeri kerana standard dan piawaian yang digunakan masih sama seperti Jakim. "Sebelum ini, majlis dan jabatan agama peringkat negeri memberikan kuasa kepada Jakim mengenai logo dan sijil halal, maka kuasa pihak negeri dan perjanjian itu masih kekal. "Sekarang bukan soal pengambilan kuasa sedia ada di peringkat negeri tetapi penyelarasan sahaja dibuat oleh HDC dan Jakim serta para pegawainya masih diguna pakai," katanya. Beliau berkata spesifikasi yang digunakan bagi mengeluarkan sijil halal selama ini akan terus diaplikasikan serta ditambah baik bagi mempercepatkan pengeluaran sijil itu. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mulai tahun depan, sambutan Maulidur Rasul akan diperhebatkan lagi dengan mengadakan sambutan serta perarakan besar-besaran bagi menterjemahkan sirah Rasulullah S.A.W. "InsyaAllah, kita akan buat lebih besar lagi tahun depan, ini bukannya untuk menunjukkan riak atau takbur tetapi menunjukkan seluruh umat Islam bersatu padu menjunjung sirah Nabi," katanya. Beliau berkata hadiah untuk penerima anugerah dan tokoh Maulidur Rasul juga akan ditingkatkan nilainya sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan yang diberikan dalam menegakkan syiar Islam dan memajukan negara. "Saya sedia maklum bahawa jabatan saya kurang peruntukan tetapi kita akan cari penajaan dari pihak luar untuk meningkatkan nilai hadiah, walaupun nilai wang dan anugerah bukanlah nilai sebenar sumbangan tokoh-tokoh ini tetapi penghargaan yang diberi adalah satu pengiktirafan yang tinggi," katanya. Pada majlis hari ini, Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada tiga penerima iaitu Mohamad Ali Mohamad Zaki bagi kategori Pelajar Cemerlang, Abdul Hanif Harun untuk Pendakwah Cemerlang manakala Jaafar Daud bagi kategori Sukarelawan Cemerlang. -- BERNAMA

No comments: