Sunday 4 December 2011

Logo Halal sekadar di pinggiran

ASALKAN ada kalimah Allah, ayat al-Quran atau melihat juruwang mahupun pelayan memakai tudung di sesebuah premis, ia dianggap halal. Cukup mudah penilaian dibuat sebilangan masyarakat Islam hari ini dalam membuat keputusan sama ada mereka boleh menikmati hidangan di sesebuah kedai makan atau restoran.

Malah, ada yang beranggapan, jika ada logo halal pasti makanan itu boleh dimakan. Sikap pengguna yang memandang ringan status halal haram makanan disajikan menjadi punca sebilangan pemilik restoran bukan Islam menggunakan logo halal tiruan mahupun pengesahan halal daripada pihak tidak bertauliah bagi mengaburi mata dan meyakinkan pelanggan Islam.




Tidak semua logo halal digunakan oleh restoran mahupun pengeluar produk makanan di negara ini diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu satu-satunya badan yang berkuasa mengeluarkan sijil halaldi Malaysia.

Jika diteliti, ada pelbagai jenis logo halal dari negara lain yang boleh didapati di negara ini, misalnya dari Thailand, Jepun, Indonesia, Singapura dengan bermacam bentuk berbeza.

Lebih 90 peratus produk di pasaran dikeluarkan oleh bukan Islam dan diragui dicemari bahan tidak halal. Sosej, tepung, pinggan mangkuk, ubat-ubatan, kosmetik dan barangan kulit antara yang pernah menggemparkan masyarakat Islam negara ini. Terbaru, isu mentega yang sebelum ini dilaporkan halalselepas berpuluh tahun digunakan masyarakat Islam, rupa-rupanya mengandungi unsur babi.

Disebabkan tiada satu akta jelas mengatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan sijil halal, sukar untukJakim menangani permasalahan halal di negara ini.

Penolong Pengarah Kanan Unit Pengawasan dan Penguatkuasaan Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, berkata meskipun majoriti penduduk negara ini Islam, kira-kira 80 peratus yang memohon sijil dan logohalal ialah mereka yang bukan Islam.

Peratusan itu jelas menunjukkan orang Islam hanya menerima tanpa menyedari hak sebagai pengguna yang semakin mengetepikan isu halal sebagai keutamaan.

"Ramai tidak peka isu logo halal kerana kurang pengetahuan mengenainya. Misalnya kedai makan atau restoran yang mempunyai sijil halal bukan dari Malaysia, yang ada sebahagiannya tidak diiktiraf Jakimmahupun Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

"Namun disebabkan tiada pengetahuan mengenainya, ramai terjerumus dan mengetepikan soal hukum. Begitu juga dengan logo pada produk makanan dan minuman, ada yang tidak mendapat kelulusan jabatan namun terus bermaharajalela di pasaran disebabkan pengguna Islam tidak menyuarakan hak sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk Logo Halal - Sekadar Di Pinggiran yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Forum anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu bertujuan menjadikan industri halal bukan sekadar jenama, tetapi dimanfaatkan sijil halal kepada ekonomi Islam sebagai pemangkin ke arah kemajuan strategik ekonomi umat Islam.

Panel lain ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Mohd Shukri Abdullah manakala Mustaffa Hamzah selaku moderator.

Menurut Mohd Amri, halal berasal daripada kalimah Arab bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak. Selain Jakim, dua jabatan lain yang diiktiraf di Malaysia adalah Jain dan Majlis Agama Islam Negeri (Main).

"Ramai masih kurang ambil tahu mengenai pentingnya logo halal bagi masyarakat Islam. Padahal ia perkara paling penting kerana mencari yang halal itu fardu. Jika sumber dimakan itu haram, hasilnya juga pasti tidak baik.

"Logo halal tulen mempunyai ciri seperti bintang berbucu lapan di tengah bulatan; perkataan Arab jawi 'halal' di tengah bintang, diikuti tulisan rumi 'halal'; bulatan logo tertulis perkataan Malaysia dalam tulisan rumi dan perkataan Arab seterusnya dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab berkenaan," katanya.

Katanya, sikap pengguna Islam yang tidak memberi perhatian dan kurang menggunakan kuasa mereka dalam memaksa pengeluar barangan menghormati sensitiviti Islam menyebabkan logo halal sekadar di pinggiran.

Datuk Nadzim pula berpendapat, kesedaran mengenai isu logo halal patut diterapkan kepada anak sejak kecil supaya ia tidak menjadi masalah mahupun mewujudkan kekeliruan apabila mereka dewasa.

"Ibu bapa seharusnya menerapkan kesedaran kepada anak, misalnya apabila membeli makanan di sekolah atau pasar raya supaya hanya membeli yang mempunyai logo halal sah.

"Mereka juga perlu diberitahu ciri logo halal tulen supaya tahu membezakan dengan yang palsu. Isu halalbukan hanya tanggungjawab Jakim, tapi tanggungjawab semua dan sebagai pengguna Islam kita perlu pertahankan hak itu," katanya.

Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa logo halal dikeluarkan di negara ini digandingkan dengan perkataan Malaysia, iaitu halal Malaysia.

Pada perspektif syarak, perkataan halal sudah cukup sebagai penunjuk aras sesuatu barangan itu dibenarkan atau harus digunakan sama ada daripada segi hukum, keselamatan dan mutu.

Inilah keunikan di Malaysia. Sebelum penandaan halal menjadi faktor penting dalam dunia perniagaan hari ini, ia tertanam kukuh dalam kebudayaan masyarakat Melayu Islam yang sangat sensitif, terutama bagi sumber makanan dan produk barangan gunaan harian.

Namun penggunaan bahan dan barangan yang ringkas, lebih-lebih lagi dalam produk makanan masa lalu, menyebabkan pelabelan ini tidak dipandang penting berbanding pada hari ini.

Umumnya penggunaan logo dan sistem pensijilan ini semata-mata untuk kelompok pengguna Melayu Muslim di negara ini bagi memudahkan mereka membuat pilihan barangan tanpa ragu di pasaran.

Sebaliknya selepas diperkenalkan hampir 10 tahun, sambutannya sungguh mengejutkan. Perkataan halalhari ini bukan lagi menjadi milik mutlak etnik Melayu Muslim.

Golongan peniaga yang rata-ratanya dipegang oleh kaum Cina mula sedar kepentingan halal dan menuntut supaya produk barangan mereka diberikan pengesahan halal, sedangkan majoritinya bukan penganut Islam.

Perubahan ini memecah tembok perbezaan agama dan perbezaan budaya yang selama ini disalah anggap piawaian halal hanya untuk penganut Islam.

Begitu juga pemilik industri Barat dan Eropah seperti Amerika Syarikat, Jerman, Belanda dan New Zealand yang membuat pelaburan besar di negara ini. Di Asia, Jepun dan Thailand menjadikan logo halal sebagai strategi pasaran bagi memenangi hati pengguna.

Golongan pengeluar juga meletakkan nilai label halal pada barangan mereka lebih mahal dan bernilai berbanding produk yang dikeluarkan.

Ada kala tanpa label halal rasmi dikeluarkan Jakim atau Jabatan/majlis agama Islam, mereka menganggap sukar memasarkan produk, malah dalam keadaan tertentu pengguna akan mempertikaikannya.

Kini halal menjadi nilai komersial yang penting dan tinggi mengatasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.

Pembabitan Jakim dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula pada 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk yang memenuhi kehendak syarak.

Mulai 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan berserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik kerajaan.

Bermula 1 September 2002, kerajaan memutuskan semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh Jakim melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai 28 jawatan.

Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, pada 17 November 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia meluluskan 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hab Halal seterusnya pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan halal diambil oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal.

Bermula 1 Januari tahun depan, semua pengusaha restoran dan premis makanan yang menggunakan perakuan dan logo halal selain daripada Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri (Main) tidak lagi dibenarkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berikutan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu.

Bermula tarikh itu juga, pihaknya akan melakukan penguatkuasaan dan pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 (individu) dan RM250,000 (pertubuhan) atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Usah abai hak pengguna

PERANAN Jakim bukan hanya mengeluarkan sijil halal kepada produk atau syarikat semata-mata tetapi juga melihat kesan ke atas generasi Islam sedunia yang memakan produk berkenaan.

Jika diberikan sijil halal kepada nama itu di Malaysia, apabila ke luar negara generasi ini akan beranggapan ia halal. Antara alasan inilah Jakim memainkan peranan tanggungjawab agama dan sosial tidak mengeluarkan sijil halal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Bagi Hamidi Mat Isa, 35, forum mengenai logo halal sememangnya kurang diberi pendedahan disebabkan sebelum ini lebih tertumpu kepada isu produk.

Mengakui dirinya sendiri kurang arif mengenai isu itu, dia bersyukur apabila didedahkan mengenai logohalal dan ciri yang ada padanya.

"Saya rasa bertuah kerana dapat mendapat informasi berkenaan logo halal. Seperti didedahkan dalam forum ini, logo halal mempunyai ciri tersendiri, misalnya ada tulisan jawi dan rumi selain berbintang bucu lapan di tengah bulatan.

"Selain Jakim selaku agensi dipertanggungjawabkan mengeluarkan logo dan sijil halal, masyarakat Islam harus tahu hak sebagai pengguna dan jangan membiarkan hak itu terbiar begitu saja, menyebabkan pengeluar barangan dan produk bukan Islam bermaharajalela," katanya yang juga kakitangan kerajaan.

Jelasnya, pelbagai ilmu bermanfaat dibawa pulang untuk disebarkan kepada isteri serta anak selain masyarakat. Dengan forum itu juga dia bakal mengajar dua anaknya meneliti label makanan dengan tanda logo halal yang disahkan sebelum membeli produk berkenaan.

"Saya percaya pembelajaran yang baik dan berkesan bermula sejak kecil. Sebelum ini saya kurang memberi penekanan terhadap isu logo ini tapi dengan adanya forum seperti ini membuatkan saya lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu, Azlinda Mohd Zailani, 38, berkata isu logo halal sememangnya soal serius yang perlu dititik beratkan kerana membabitkan makanan yang menjadi darah daging, terutama bagi orang Islam.

"Umum mengetahui 80 peratus pembekal makanan dan pengusaha produk negara ini bukan Islam. Sememangnya sesuatu yang sukar mencari pengusaha produk makanan Islam, apatah lagi prosedur mendapatkan sijil mahupun logo halal memakan masa dan kos.

"Senario ini menyebabkan kebanyakan masyarakat Islam yang rata-ratanya menjadi pembeli tidak peka dan tidak ambil tahu kandungan pada makanan mahupun restoran yang memaparkan logo halal sama ada ia sah mahupun tidak," kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

Justeru, menjadi tanggungjawab masyarakat Islam mempertahankan hak pengguna supaya apa dimakan menjadi halal dan tidak mendatangkan keraguan.

No comments: