Wednesday 9 April 2008

Kelulusan Kabinet

Kabinet Lulus HDC Sebagai Pengeluar Sijil Halal

PUTRAJAYA, 2 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), telah diberi mandat oleh Kabinet hari ini untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi negara ini, mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau berkata ia berkuatkuasa serta merta. "Pihak HDC sudah boleh mengeluarkan sijil ini secepat mungkin dan ini bermakna agensi yang mengeluarkan sijil dan logo halal di bawah Jakim akan berubah dan beroperasi di bawah HDC," katanya kepada Bernama ketika di temui setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di Perdana Putra, pejabat Perdana Menteri, untuk membincang perlantikan anggota exco negeri itu. Menurut Abdullah, HDC akan mengeluarkan sijil dan logo halal Jakim yang telah digunakan selama ini dan dikenali ramai. Beliau berkata pensijilan halal untuk negara ini telah diterima pakai oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Menurut Abdullah, ketika ini sudah terdapat 40 buah syarikat termasuk dari luar negera yang sedang menunggu untuk mendapat sijil berkenaan. "Maka dengan keputusan ini pengeluaran sijil ini dapat dipercepatkan," kata beliau. HDC ditubuhkan pada 2006 oleh Jabatan Perdana Menteri dengan objektif meletakkan Malaysia sebagai Hab Halal Global dan memacu perkembangan industri halal seluruh dunia. Selain itu, mesyuarat Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di Dakar, Sudan baru-baru ini, telah memutuskan supaya Malaysia menjadi pengeluar sijil halal di samping menjadi hub atau pembangunan industri halal. Dengan itu, kata Abdullah, HDC boleh mengeluarkan pensijilan halal antarabangsa termasuk negara-negara OIC menggunakan Logo Jakim yang di terima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. -- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.