Friday 11 April 2008

Hala Tuju Pegawai Hub Halal JAKIM

10 April, 2008 23:33 PM

JAKIM Terus Laksana Latihan Pegawai Penyelidik Industri Halal

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus melaksanakan latihan bagi pegawai penyelidik yang menjalankan penyelidikan berkenaan industri halal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Katanya mereka mesti tahu perkara-perkara yang perlu difahami untuk menentukan sama ada sesuatu barang itu halal atau pun tidak. Menurut Abdullah, Kabinet telah memberi mandat kepada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi negara ini, mengambil alih tugas Jakim sebelum ini. "Peranan mengeluarkan sijil halal diberi kepada HDC tetapi sijil halal yang dikeluarkan itu ialah sijil dan logo Jakim kerana sijil halal ini telah digunakan sekian lama, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di sini hari ini. Abdullah berkata integriti sijil halal ini telah pun diiktiraf dan diakui dan standardnya juga telah digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). "Jadi dengan itu kita tidak menggunakan sijil-sijil halal yang lain," katanya. Beliau berkata peranan HDC sebagai badan yang mengeluarkan sijil halal itu akan terus mempromosikan industri halal di negara ini dan bersama dengan jabatan-jabatan dan badan-badan yang lain seperti Perbadanan Kemajuan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC). Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerja-kerja yang bersabit dengan penyelidikan dan sebagainya yang berkaitan dengan keperluan pengeluarkan sijil halal itu akan terus dilakukan oleh pegawai yang berkhidmat dengan JJAKINM. "Jadi ia tidak bermakna akan digantikan dengan orang lain. Pegawai-pegawai penyelidik yang ada di situ akan terus digunakan tetapi mereka akan berkhidmat di bawah HDC," jelas beliau.

No comments: