Monday 21 April 2008

PUM bantah langkah serah sijil halal Jakim kepada HDC

KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) membantah langkah kerajaan menyerahkan hak pensijilan halal yang selama ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Halal Development Corportion (HDC).

Setiausaha Agung PUM Dr Roslan Mohd Nor ketika mengulas isu tersebut berkata, PUM menyifatkan Pensijilan Halal adalah hak mutlak bagi badan-badan Islam yang berautoriti seperti Jakim atau Jain.

"Langkah memberi hak pensijilan kepada badan-badan selain badan berkenaan lebih-lebih lagi kepada pihak yang cenderung menjaga kepentingan ekonomi semata-mata dikhuatiri akan mengundang keraguan.

"Dan hal ini dihuatiri akan membawa implikasi yang serius terhadap kepentingan umat Islam," kata beliau dalam suatu kenyataan akhbarnya baru-baru ini.

Menurut beliau, semua pihak khususnya kerajaan wajar berhati-hati dalam mengambil langkah berhubung perkara ini.

"Ini kerana, isu halal dan haram dalam makanan melibatkan integriti, darah daging serta maruah umat Islam.

"Sehubungan itu, kami berharap supaya sebarang langkah yang diambil untuk mengubah bidang kuasa yang melibatkan hal ehwal Islam termasuk dalam isu pensijilan halal ini dipandang serius dan ia wajar dibantah," tambah beliau.

Bagi PUM, kata Dr Roslan, pengesahan status sesuatu produk mestilah dilakukan oleh badan-badan Islam yang ada autoriti tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.

Selain itu, menurut suatu sumber, langkah penyerahan pensijilan halal kepada HDC ini mula hangat dibahaskan oleh pihak tertentu yang mula mengesyaki kalau-kalau wujudnya kepentingan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin, dalam HDC.

"Mungkin ada kepentingan ke atas menantu Perdana Menteri dan rakan-rakannya kerana mereka ada kaitan dengan World Halal Forum, Mihas dan Syarikat KasihDia yang mempunyai kaitan rapat dengan Khairy.

"Kami persoalkan hala tuju yang kabur oleh HDC sama ada ia diwujudkan bertujuan mengaut keuntungan atau menjaga kepentingan umat Islam," kata suatu sumber.

Tambah sumber, mekanisme penyerahan tugasan Jakim kepada pihak HDC dibuat secara tergesa-gesa tanpa dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang.

"Difahamkan setakat ini, Peguam Negara juga tidak bersetuju. Hingga kini HDC gagal menerangkan bentuk tugasan yang dilaksanakan oleh HDC secara jelas.

"Antara lain tiada pakar syariah yang mengetahui selok-belok hukum hakam berkaitan halal, haram dan syubhah. Sedangkan asas penentuan halal dan haram ataupun syubhah adalah tugas ulamak dan pakar syariah," kata sumber berkenaan. - mns

No comments: