07 April, 2008 13:49 PM |
MITI Akan Bekerjasama Dengan HDC Bangunkan Industri Halal, Kata Muhyiddin
PETALING JAYA, 7 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam mempercepatkan pembangunan industri halal di negara ini bagi memenuhi permintaan dari luar negara. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin berkata pihaknya akur dengan keputusan kabinet untuk mengekalkan HDC di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). "Kita bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kekalkan HDC di bawah JPM) dan akan bekerjasama dengan HDC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Anugerah Produktiviti 2006/2007, Isnin. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MITI akan mengambil-alih HDC. "Tujuan kita bukan nak mengambil-alih urusan untuk mendapatkan sijil halal, kita nak terlibat dalam usaha untuk mempercepatkan proses pembangunan industri ini kerana tidak ada gunanya kita buat promosi seluruh dunia, Malaysia jadi hab sebagai pengeluar makanan halal tetapi di negara sendiri, kita belum bangunkan satu pembangunan industri halal yang berdaya maju," katanya. "Kalau ada pun, jumlahnya kecil, kalau dari segi saiz pun, tidak sebesar mana, jadi kita tidak boleh jual secara besar-besaran. Bila orang nak buat pesanan, tidak ada bekalan. Jadi, kita mesti ada satu perancangan," katanya lagi. Beliau berkata pembangunan industri halal juga merupakan sebahagian daripada urusan MITI kerana ia adalah sebuah agensi untuk mempromosikan industri termasuk industri makanan dan bukan makanan. Muhyiddin berkata beliau akan berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif HDC dalam jangka masa terdekat untuk mendapatkan maklumat berkenaan persediaan yang HDC telah lakukan untuk memajukan industri halal termasuk perbentangan "Pelan Induk bagi Pembangunan Industri Halal." Kabinet pada mingu lepas telah menetapkan bahawa HDC adalah badan yang bertanggung jawab untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi negara ini, mengambil-alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. HDC akan mengeluarkan sijil dan logo halal Jakim yang telah digunakan selama ini dan dikenali ramai. HDC ditubuhkan pada 2006 oleh Jabatan Perdana Menteri dengan objektif meletakkan Malaysia sebagai Hab Halal Global dan memacu perkembangan industri halal seluruh dunia. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment