Thursday 22 December 2011

Tanjung Manis Pilihan Pelabur


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata penubuhan hab halal di negara ini bukan bertujuan membuka peluang perniagaan kepada usahawan Islam tempatan atau antarabangsa semata-mata kerana pelabur terbesarnya kini konglomerat bukan Islam.

Mengambil contoh Hab Halal Tanjung Manis (HHTM) beliau berkata, sebuah syarikat Taiwan menjadi pelabur utama di kawasan perindustrian itu dan ia mempunyai kelayakan dalam menghasilkan produk halal yang diiktiraf.


Abdul Taib berkata, Sarawak berhasrat menjadi antara pemain utama industri halal dunia yang kini mencecah RM7 trilion setahun dengan HHTM menerima pelaburan RM1.8 bilion akan menjadi pemangkin utama.

"Pada peringkat awal ada pihak mengatakan industri halal untuk orang Islam saja kerana hanya umat Islam tahu menyediakan makanan halal tetapi kini banyak syarikat Barat tahu konsep syariah.

"Konglomerat seperti Nestle yakin dalam industri halal sehingga melaburkan wang bagi membangunkan sektor itu dengan syarikat Malaysia, termasuk milik bukan Islam perlu mengambil peluang itu," katanya pada Program Transformasi Halal, di sini, semalam.

Setakat ini, terdapat lima Hab Halal milik swasta dibangunkan masing-masing di Pulau Indah, Selangor; Serkam, Melaka; Pedas, Negeri Sembilan; Zon Bebas Pelabuhan Klang serta HHTM di Bahagian Sarikei, Sarawak manakala enam lagi dimiliki kerajaan negeri.

Abdul Taib berkata, nilai industri halal di Malaysia kini RM6 bilion dengan Sarawak menerima pelaburan terbesar di bawah HHTM yang memberi fokus kepada bidang akuakultur dan makanan kering.

"Berdasarkan potensi masa depan, kerajaan Sarawak bersetuju membesarkan Pelabuhan Tanjung Manis bagi memudahkan barangan dari kawasan industrinya dipasarkan ke negara luar," katanya.