Saturday 5 March 2011

Produk farmaseutikal positif DNA babi akan diumumkan

GURUN: Senarai nama produk farmaseutikal tempatan yang didapati positif mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi akan diumumkan bagi memastikan umat Islam tidak terbeli produk itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, usaha juga sedang diambil bagi produk dibungkus dengan kapsul gelatin positif DNA babi itu tidak dibenarkan dijual di kaunter terbuka di semua premis seluruh negara.
Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat semakan terhadap produk farmaseutikal berkenaan untuk disenaraikan.


"Senarai produk ini juga akan diumumkan sebagai produk haram kepada umat Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Sekolah Kebangsaan Gurun, di sini hari ini. 

Jamil Khir mengulas laporan akhbar Khamis lalu mengenai kajian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi terhadap 15 sampel produk farmaseutikal tempatan yang dibungkus dengan kapsul gelatin yang diambil secara rambang dari pasaran dan tiga daripada produk itu positif DNA babi. 

Kehadiran DNA itu dikesan menggunakan kit diagnosis yang dibangunkan sebuah syarikat multinasional tempatan menerusi projek perintis bersama kementerian itu baru-baru ini dalam usaha membangunkan produk standard halal di Malaysia. - BERNAMA

No comments: