Wednesday 15 October 2008

Sabah&Sarawak: Hotel di Sarawak sudah miliki sijil halal MIS

MAH bukti pengusaha prihatin kehendak pelanggan Islam KUCHING: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak mengesahkan semua restoran dan dapur di hotel bertaraf tiga, empat dan lima bintang di Sarawak, sudah memiliki sijil halal Majlis Islam Sarawak (MIS). Pengesahan daripada MIS bermakna hotel berkenaan bersih dan selamat bukan saja dari segi penyembelihan binatang, malah merangkumi bahan, proses penyediaan makanan, kebersihan pekerja dan peralatan dapur serta sumber makanan serta bekalan. Pentadbir Eksekutif persatuan itu, Helen Voon, berkata terdapat 38 hotel mewah milik individu atau rangkaian antarabangsa di Sarawak setakat ini. Walaupun keperluan memiliki sijil halal tidak wajib dan hanya dibuat secara sukarela, namun pengusaha hotel berkenaan memahami keperluan pelanggan khasnya yang beragama Islam. "Tiada alasan mereka tidak memohon pengiktirafan halal dari MIS kerana mereka perlu sensitif dengan keperluan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. "Lagipun perkembangan pesat industri pelancongan Sarawak bermakna semua pengusaha hotel perlu membuat persediaan rapi termasuk dari segi kualiti perkhidmatan yang ditawarkan," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam. Voon berkata, Sarawak dijangka mempunyai tiga lagi hotel mewah menjelang tahun depan bagi memenuhi permintaan terhadap penginapan berkualiti di negeri ini. Katanya, kebanyakan hotel dan rumah tumpangan di negeri ini mempunyai tempahan hampir mencecah 80 peratus terutama apabila terdapat keramaian atau upacara tertentu. "Aktiviti pelancongan termasuk Rainforest World Music Festival (RWMF) antara yang menyumbang ke arah peningkatan jumlah pelancong dan pelanggan hotel setiap tahun," katanya. Sarawak dijangka menerima kedatangan 3.9 juta pelancong tahun ini dan angka itu meningkat lapan peratus berbanding tahun lalu. Peningkatan itu antara lain berpunca daripada pertambahan jumlah hotel mewah dan rumah tumpangan di Sarawak. Industri pelancongan pula dijangka muncul sebagai penyumbang pendapatan kedua terbesar kepada ekonomi Sarawak menjelang tahun 2013. Sumber :Berita Harian Online –Wilayah

No comments: