Wednesday 22 October 2008

Standard kosmetik halal bakal dilaksana penuhi tuntutan pengguna

KERAJAAN akan mewujudkan standard kosmetik halal bagi memenuhi tuntutan semasa pengguna Islam kerana banyak bahan kosmetik di pasaran sekarang, tidak mempunyai logo halal. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata standard itu ialah ‘Cosmetic and Personal Care-General Guidelines’ yang kini dalam proses untuk diwartakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti). “Standard Kosmetik Halal diwujudkan atas kesedaran kerajaan bahawa pengguna Islam amat prihatin dengan banyaknya bahan kosmetik yang tidak mempunyai logo halal. “Dengan adanya standard ini, pengguna Islam akan berasa selesa dan selamat untuk menggunakan kosmetik yang halal,” katanya ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) yang mahu kerajaan mempertingkatkan dan mengemas kini standard piawaian halal di Dewan Rakyat, semalam. Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula Standard Piawaian Halal MC 1500:2004 bagi makanan halal membabitkan pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan bagi penambahbaikan selepas ia diguna pakai selama lima tahun. Sumber :Harian Metro 22 Okt 08

No comments: