Monday 14 November 2011

JAKIM TAK MONOPOLI SIJIL HALAL


YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan 14 Majlis Agama Islam Negeri (Main) di seluruh negeri dilantik sebagai badan pensijilan halal yang berperanan mengeluarkan sijil halal dengan logo seragam di seluruh negara berkuat kuasa 1 Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, perkara itu sekali gus menolak dakwaan mengatakan hanya Jakim saja yang dilantik sebagai badan pensijilan halal tunggal negara bermula tahun depan, selain menyifatkan ia sebagai salah faham pihak industri.



Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang digantikan dengan Akta Perihal Dagangan 2011 sekali gus memberi kuasa kepada Jakim dan Main untuk menjadi badan sah mengeluarkan sijil halal berkuat kuasa tahun depan.

"Sebanyak 15 badan termasuk Jakim yang dilantik kerajaan mengeluarkan sijil halaldengan logo seragam bermula tahun depan. Ia selaras usaha kerajaan memperkemas dan memantau pengeluaran sijil halal kepada pihak industri termasuk pengusaha kedai makan.

"Ketetapan itu dibuat selepas kita menilai pengalaman lalu apabila ketika pengeluaran sijil halal diberikan kepada tujuh syarikat swasta, kita lihat ia tersasar daripada matlamat asal sebaliknya digunakan untuk mengaut keuntungan manakala hak pengguna Islam dikhianati," katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan disuarakan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) berhubung pelantikan Jakim sebagai badan pensijilan halal tunggal di Malaysia mulai 1 Januari 2011, yang didakwa menjejaskan industri makanan dan perkilangan.

Timbalan Presiden persatuan itu, Teh Kee Sin juga mahu kerajaan mengkaji kemungkinan memilih lebih daripada satu badan pensijilan sebagai sumber alternatif dalam pengeluaran sijil halal.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, Jakim dan Main adalah badan yang tidak mempunyai kepentingan menjana keuntungan sebaliknya berperanan sebagai organisasi yang melindungi hak terutama pengguna Islam di negara ini.

"Mulai tahun depan, pihak industri hanya perlu membayar yuran RM200 untuk memperoleh sijil halal yang mempunyai tempoh luput selama dua tahun, malah mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran untuk tujuan memproses produk yang dihantar ke makmal.

"Sebab itu apabila sijil halal dikeluarkan pihak swasta, ada antara produk yang mendapat sijil halal dan apabila diuji semula mempunyai sumber tidak halal termasuk DNA gelatin babi dan ia disifatkan satu pengkhianatan kepada pengguna Islam yang mungkin sudah termakan produk terbabit," katanya.