akar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh masuk campur menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah di Sarawak.
Katanya, ini kerana, di bawah kerangka federalisme yang diterima oleh perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri.
"Jadi dalam soal ini negeri mempunyai bidang kuasa; Jakim tidak boleh masuk campur. Lagi pun di sisi perlembagaan, Jakim sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja, bukan kerajaan persekutuan.
"Tapi malangnya ini tidak berlaku. Semua agensi Islam persekutuan dikuasai oleh Umno/kerajaan," katanya ketika mengulas arahan supaya Jakim menyiasat status agama budak itu yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.
Semalam, kerajaan mengarahkan bahagian penyelidikan JAKIM menyiasat status agama bapa budak itu - Baginda Minda atau Noor Azman Abdullah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, arahan itu ekoran keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.
Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Perkara pertama dalam perjanjian itu menyebut tiada bantahan Islam sebagai agama negara, bagaimanapun tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak) dan tiada pengamalan berkaitan dengan Perlembagaan Malaya patut digunapakai di Borneo.
Menjawab soalan Malaysiakini melalui e-mel, Abdul Aziz menjelaskan, apa pun perkara dalam perjanjian itu, meskipun ada hujah moral, tetapi peruntukan dalam perlembagaan persekutuan - perkara 3(3) yang mewajibkan perlembagaan negeri tidak beraja memasukkan Agong sebagai ketua agama - berkata sebaliknya.
"Cuma soalnya apakah Jakim bertindak atas arahan Agong? Pada pendapat saya Agong perlu bertindak atas inisiatif baginda sendiri sebagaimana dalam konteks baginda sebagai ketua agama di negeri baginda sendiri," jelasnya.
Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang status agama anak, Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarangsa (UIA) berkata, keputusan itu itu tidak mempunyai kuasa undang-undang.
"Ia sekadar pandangan yang boleh diterima atau ditolak oleh negeri-negeri," katanya.
No comments:
Post a Comment