Monday 2 November 2009

Gelatin kapsul ubat 30 peratus tidak halal

GEORGETOWN: Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir. Dekan Pusat Pengajian berkenaan, Profesor Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman, berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lalu itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu. Bagaimanapun, ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terbabit bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang media di USM di sini, hari ini. Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang. Syed Azhar berkata, produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lalu. "Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah berikutan bahan utamanya halal," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.
Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Profesor Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenalpasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat. Dr Gam berkata, dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir," katanya. Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai. Dr Gam berkata, pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut. Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia membabitkan produk halal dan haram

No comments: