Thursday 25 September 2008

Kenyataan Akbar : Melamine

KENYATAAN AKHBAR SIRI KE EMPAT MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN DENGAN PRODUK DARI NEGARA CHINA YANG DICEMARI DENGAN MELAMINE Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kepada pengguna berkaitan soalan yang kerap ditanya (Frequently Asked Questions - FAQ) berhubung dengan isu pencemaran melamine dalam susu dan hasilan susu dari China sebagai maklumat tambahan seperti di Lampiran 1. Status terkini tindakan KKM dalam menangani isu pencemaran melamine dalam hasilan susu KKM akan mengeluarkan senarai produk makanan yang tidak terlibat dengan pencemaran melamine seperti di Lampiran 2. Senarai ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. KKM ingin memaklumkan pengimport ataupun agen yang mengimport susu dan hasilan susu dari China untuk menghentikan pengimportan dengan serta merta. Sekiranya produk makanan tersebut masih berada dalam simpanan, pengimport / agen dinasihatkan supaya tidak menjual dan melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya. KKM juga menasihatkan penjual untuk menyemak inventori produk jualan bagi mengenalpasti produk makanan yang mempunyai susu sebagai salah satu ramuan yang diimport dari China supaya segera mengeluarkan produk makanan tersebut dari premis masing-masing. Penjual juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya. KKM ingin menasihatkan pengguna untuk tidak menerima sebarang susu dan hasilan susu dari negara China yang diberikan secara percuma sempena musim perayaan ini. Sekiranya pengguna masih ragu-ragu mengenai status keselamatan makanan di pasaran, sila hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM di talian 03-88833655 / 03-88833503 untuk mendapatkan maklumat lanjut. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia 23 September 2008

No comments: