Tuesday 22 June 2010

Modul Halal Global

KUALA LUMPUR 21 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan empat modul halal untuk peringkat global oleh Perikatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI).
Ketika mengumumkan perkara itu pada majlis perasmian Forum Halal Sedunia 2010 (WHF) di sini, Perdana Menteri berkata, IHI yang ditubuhkan pada WHF sebelum ini berfungsi sebagai badan rujukan halal bagi mana-mana pihak terutama negara Islam di seluruh dunia.


Beliau berkata, standard halal yang telah ditetapkan oleh IHI adalah berdasarkan kepada input daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), SIRIM serta beberapa badan berkaitan khususnya di peringkat antarabangsa.
''Selain itu IHI turut mendapat mandat daripada Dewan Perniagaan dan Industri Islam (ICCI) untuk menjalankan tugas sebagai badan rujukan halal bagi pihak-pihak yang mahu mendapatkan khidmat mereka,'' katanya.
Empat modul halal yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu adalah logistik, perkhidmatan makanan, proses penyembelihan serta kebajikan haiwan.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif IHI, Darhim D. Hashim berkata, keseluruhannya terdapat 10 modul yang dibangunkan untuk tujuan berkenaan.
Selain empat modul yang dilancarkan itu, pihaknya kini sedang menyediakan draf empat modul lagi yang melibatkan analisis dan penyelidikan makmal, pemakanan haiwan, pemprosesan bahan makanan serta kosmetik dan penjagaan diri.
Sementara itu, dua lagi kata beliau, adalah melibatkan sistem kewangan dan farmaseutikal.
"Pembangunan standard ini dikendalikan oleh panel syariah antarabangsa yang mengambil kira standard global, hukum syariah dan pegangan mazhab negara masing-masing," katanya
Namun katanya, modul tersebut bukanlah satu kewajipan kepada mana-mana negara Islam untuk mengikutinya kerana ia dibuat berasaskan kepada mazhab Shafie.
"Ada negara Islam yang tidak mengamalkan mazhab Shafie, jadi modul tersebut bukanlah satu kewajipan kerana ia hanya bertindak sebagai garis panduan semata-mata,'' katanya.
Darhim berkata, kemungkinan besar modul ini akan dibawa kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi diperkenalkan kepada ahli-ahlinya dan ia amat berguna terutamanya meliputi banyak hal ehwal kehidupan seharian.

Dari

No comments: