Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah
membincangkan mengenai Hukum Pemerdagangan Manusia. Muzakarah telah
membuat keputusan seperti berikut:
i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa manusia merupakan makhluk
yang amat dimuliakan oleh Allah s.w.t dan tidak diciptakan untuk menjadi
hamba kepada manusia yang lain.
ii. Oleh yang demikian, pemerdagangan manusia yang melibatkan berbagai
eksploitasi seperti pelacuran, perhambaan dan sebagainya adalah
bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan oleh
Allah s.w.t.
iii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum
memperdagang dan mengeksploitasikan manusia dalam pelbagai bentuk yang
menyalahi hukum syarak adalah diharamkan oleh Islam.