Program Raikan Cinta anjuran JAKIM melalui Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Raudatus Sakinah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mendapat sambutan luar biasa kerana seawal jam 5 petang orang ramai khususnya remaja telah datang untuk menyaksikan program ini. Dianggarkan melebihi 1500 orang telah datang dan memenuhi Dewan Muktamar Pusat Islam untuk menyaksikan Program Raikan Cinta. Program ini telah berlangsung pada 11 Februari 2012, dan bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Program Raikan Cinta ini adalah sempena Kempen AWAS! Jerat Valentine’s Day 2012 dan perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Othman Bin Mustapha. Pada pelancaran Kempen tersebut , Ketua Pengarah JAKIM telah menyerahkan kit kempen Awas! Jerat Valentine’s Day kepada perwakilan beberapa institusi, NGO yang melibatkan remaja dan belia untuk disebarkan.
Objektif program ini adalah untuk menjelaskan konsep cinta yang sebenar menurut Syarak dan berlandaskan Islam dan di samping itu juga untuk menghebahkan Fatwa Pengharaman Sambutan Hari Valentine’s Day yang disambut pada setiap 14 Februari dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasullullah S.A.W
Antara aktiviti dalam Program Raikan Cinta adalah slot Sembang-sembang Cinta yang diadakan secara santai dan telah menarik minat para penonton dengan celoteh moderator Wardina Saffiyah dan juga ahli-ahli panel terdiri dari finalis Imam Muda Astro dan juga Juara Solehah Tv alHijrah Aimie Sofia.
Program Raikan Cinta ini diserikan juga dengan persembahan dari artis-artis ternama seperti Nash, Aishah, Demascus dan juga Aiman. Setiap lagu yang dinyanyikan mempunyai mesej-mesej kesedaran dan nasihat yang berguna kepada semua.
Dengan adanya program seumpama ini, diharapkan agar remaja mempunyai kesedaran dan jati diri yang baik serta mampu membuat keputusan yang tepat mengikut syariat.