Friday, 3 June 2011

Karnival Halal Kelantan Berjaya

KOTA BHARU 30 Mei - Karnival Halal Kelantan 2011 yang berakhir hari ini, berjaya mencapai sasaran apabila menarik kedatangan lebih 50,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, dengan kejayaan itu pihaknya bercadang menganjurkan karnival lebih besar pada tahun hadapan dengan melibatkan peserta dari negara ASEAN, sekiranya mempunyai dana dan penaja mencukupi.
Beliau berkata, pelbagai program menarik telah diadakan sepanjang karnival tiga hari itu dan mendapat sambutan luar jangkaan daripada pengunjung.
Antara program yang mendapat sambutan ramai ialah uji bakat program Adik-Adikku Musim Ketiga, rakaman Forum Perdana Ehwal Islam dan persembahan dikir barat.
Katanya, sebanyak 80 gerai pameran dan jualan produk serta perkhidmatan telah diadakan sepanjang karnival berkenaan yang perasmiannya telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

"Rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan bahawa program ini amat berfaedah, berinformasi dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, terutama bagi mengisi masa lapang cuti sekolah.
"Selain itu, para usahawan juga sangat berpuas hati dengan hasil jualan mereka dan merasakan pelaburan menyewa gerai tidak sia-sia," katanya di sini, hari ini.
Karnival halal itu anjuran bersama JHEAIK dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Che Mohd. Rahim seterusnya mengucapkan penghargaan kepada penganjur dan media, terutama akhbar Kosmo! yang telah banyak membantu mempromosikan karnival tersebut sejak sebulan lalu.

1 comment:

Anonymous said...

oooo