Md
Nasir menunjukkan bungkusan bebola ikan yang menggunakan logo halal
tidak diiktiraf dalam serbuan yang dibuat di kawasan perusahaan Juru
semalam.
BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang industri kecil sederhana (IKS) memproses
bebola ikan diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) berikutan
penggunaan logo halal tidak diiktiraf pada bungkusan bebola ikan
semalam.
Pegawai Penguat kuasa Daerah (SPT), Md Nasir Mohamad berkata, serbuan
dibuat di kawasan perusahaan Juru itu dijalankan dengan kerjasama
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada jam 11.30 pagi.
“Pemeriksaan yang dibuat seramai sembilan penguatkuasa mendapati
pengeluar masih menggunakan logo halal yang dikeluarkan pihak swasta
dengan alasan tidak menyedari bahawa ia merupakan satu kesalahan.
“Justeru, bungkusan yang ada dirampas manakala pengeluar diarahkan
untuk menarik balik kesemua produk yang menggunakan logo terbabit
berkuatkuasa serta-merta,” katanya.
Difahamkan, produk tersebut merupakan jenama popular malah mendapat
permintaan tinggi melalui pasaran terutamanya hotel-hotel di negeri ini.
Beliau berkata, hanya Jakim agensi yang dilantik sebagai badan
berwibawa bagi perakuan pengesahan status halal bawah peraturan Akta
Perihal Dagangan (APD) 2011.
“Tiada lagi penggunaan logo halal lain yang dikeluarkan oleh pihak
swasta boleh digunakan dan pengusaha serta peniaga disaran memperbaharui
logo lama kepada logo halal yang baru.
“Jika sabit kesalahan, pengeluar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 200,000,” katanya.