UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) melalui jaringan strategiknya dengan Institut Finlay dari Cuba mencipta sejarah dalam bidang pengajian tinggi apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk membangunkan vaksin halal pertama bagi penyakit meningokokus yang dikenali sebagai tetravalent meningococcal ACW135Y vaccine.
Perkara itu diputuskan menerusi majlis menandatangan memorandum perjanjian oleh kedua-dua pihak di Kedutaan Besar Malaysia di Havana, Cuba pada satu majlis yang turut disaksikan oleh Ketua Penasihat Saintifik Majlis Negara Republik Cuba, Dr. Fidel Castro Diaz-Balart dan Duta Besar Malaysia ke Republik Cuba, Yean Yoke Heng.Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Presiden Institut Finlay, Francisco Dominguez Alvarez.
Melalui perjanjian tersebut, Sanggar Sains, anak syarikat sepenuhnya milik USM, akan berperanan dalam mengkomersialkan vaksin tersebut.
Kerjasama seumpama itu merupakan detik paling bersejarah buat kedua-dua pihak khususnya dalam menyelesaikan kemelut kesihatan ekoran penularan penyakit meningokokus yang banyak melanda rakyat di negara-negara membangun dan mundur.
Dzulkifli dalam satu kenyataan berkata, kerjasama di antara USM dengan Institut Finlay bermula sejak lapan tahun lalu dan sepanjang berkolaborasi, kedua-dua pihak telah membangunkan pelbagai jenis penyelidikan, antaranya berkenaan penyakit turbekulosis.
Katanya, penyelidikan turbekulosis yang terdahulu telah memberi pelbagai manfaat khususnya dari aspek pertukaran kepakaran, staf dan para pelajar di antara USM dan institusi pengajian tinggi Cuba itu.
"Perkembangan baru ini yang melibatkan cabang penyelidikan lain nyata menjadi satu lagi inisiatif kita dalam membangunkan nasib golongan bottom billion, sekali gus meletakkan nama Malaysia sebagai antara pengeluar vaksin halal terkemuka di pentas global,'' katanya.
Sementara itu, Francisco Dominguez pula berkata, kerjasama yang sekian lama terjalin itu akan sentiasa diteruskan dan kedua-dua pihak akan meneroka peluang-peluang penyelidikan baru demi manfaat masyarakat di negara-negara membangun dan mundur.
"Visi dan matlamat di antara USM dengan Institut Finlay tidak jauh berbeza iaitu untuk mencari penyelesaian efektif dan boleh diakses penduduk negara-negara miskin yang amat memerlukan bantuan dan sokongan," jelas beliau.
Tambah beliau, selain mencari penyelesaian, kerjasama itu juga dapat mengembalikan kegemilangan teknologi dan tamadun Islam sebaris dengan penghasilan yang dicipta oleh barat.
Penyakit meningokokus adalah penyakit jangkitan bakteria serius yang disebabkan oleh sejenis bakteria dikenali sebagai Neisseria meningitidis.
Ia menjadi penyumbang utama kepada jangkitan bakteria meningitis kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang berumur dalam lingkungan dua tahun hingga 18 tahun yang jika tidak menerima kaedah rawatan sempurna boleh membawa kepada maut.
No comments:
Post a Comment