Tuesday 6 May 2008

Standard halal Malaysia akan diketengahkan sebagai standard global

KUALA LUMPUR: Standard halal Malaysia dijangka diketengahkan sebagai standard halal global pada Forum Halal Dunia yang bakal berlangsung di sini berikutan sokongan dan penglibatan pengerusi forum yang baru dilantik, Datuk Seri Sheikh Saleh Abdullah Kamel. Sheikh Saleh, ahli perniagaan Arab Saudi yang berpengaruh dan kaya, kini adalah pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Islam (ICCI), badan di bawah Pertubuhan Persidangan Ialam (OIC) yang mewakili dewan perniagaan negara anggota. Beliau juga adalah pengerusi majlis umum Bank-bank Islam, yang berpangkalan di Bahrain.

Pengarah urusan KasehDia Sdn Bhd, Juma’atun Azmi berkata penerimaan standard halal Malaysia sebagai standard halal global boleh direalisasikan dengan ICCI dan Pakatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI) bekerjasama untuk mempromosikannya. “Dengan jalinan pakatan mereka, kami menjangka standard halal Malaysia diterima di peringkat dunia,” katanya pada taklimat media mengenai Forum Halal Dunia di sini. KasehDia adalah syarikat perunding yang memulakan Forum Halal Dunia. — Bernama

No comments: