Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah
membincangkan mengenai Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
-
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dato’
Dr. Yaakob Che Man, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH)
Universiti Putra Malaysia serta meneliti hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa makanan terubahsuai
secara genetik melibatkan pemindahan gen-gen yang halal dan juga tidak
halal, dari haiwan dan juga tanaman bagi memberikan ciri-ciri yang
dikehendaki sebagai makanan atau ubat-ubatan.
-
Dalam hal ini Muzakarah berpandangan bahawa Islam menghendaki umatnya
supaya memilih makanan yang baik (toyyib) iaitu halal,suci dan tidak
memberi mudharat kepada jiwa dan akal manusia dan proses penghasilannya
juga tidak memberi mudharat kepada manusia dan alam sekitar.
-
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam
penghasilan Makanan Terubahsuai Genetik (GM Food), penggunaan
bahan-bahan yang diharamkan dan memudaratkan manusia serta alam sekitar
adalah dilarang. Manakala penggunaan haiwan ternakan yang halal
dibolehkan sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut kaedah syarak.
No comments:
Post a Comment
sila komen secara berhemah