KUALA LUMPUR: Syarikat QBB (Pte) Ltd masih menunggu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kimia Malaysia memberikannya salinan sijil rekod keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia bagi membolehkannya mengenal pasti ‘benda asing’ yang didakwa terdapat dalam produk minyak sapi keluarannya.
Dengan adanya rekod itu, syarikat berkenaan boleh menggunakan khidmat pakar susu bebas untuk membantu Jabatan Kimia Malaysia mengenal pasti bahan itu bagi menghindar kekeliruan pengguna Islam.
“Kami masih menunggu maklum balas Jakim (mengenai perkara ini),” kata Pengarahnya, Lim Peck Bin, dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau juga menafikan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada 2 September lalu bahawa Jakim menarik balik sijil halal produk minyak sapinya kerana mengandungi elemen meragukan.
Lim memberitahu Jakim tidak dapat mengenal pasti bahan yang ditermakan sebagai ‘benda asing’ dan tidak pernah membuat kenyataan bahan itu tidak boleh dimakan orang Islam. — Bernama
No comments:
Post a Comment
sila komen secara berhemah