PUTRAJAYA 17 Ogos - Hampir 70 peratus daripada pemeriksaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas hotel-hotel dan premis makanan di sekitar Lembah Klang yang berselindung di sebalik terma bufet Ramadan diragui status halalnya.
Hotel terbabit yang tidak memiliki sijil halal telah mencampurkan alkohol dalam masakan untuk penyediaan bufet Ramadan.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan oleh 20 penguat kuasa pasukan jabatan itu.
Menurutnya, berikutan itu pihaknya mengarahkan hotel terbabit dengan serta-merta tidak menggunakan alkohol agar tidak mengelirukan pengguna Islam yang menikmati juadah berbuka puasa di situ.
"Kita melakukan pemeriksaan setiap hari dan meningkatkan pemantauan mulai 1 Ramadan lalu di semua hotel di sekitar Lembah Klang dan didapati kebanyakan hotel gemar mencampurkan arak dalam masakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jakim baru-baru ini mengeluarkan amaran kepada pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata, bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan mereka yang menyalahgunakan terma ini boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
"Pihak kami juga menasihati mereka supaya segera memohon sijil halal daripada Jakim memandangkan mereka memberi alasan tidak tahu bagaimana untuk membuat permohonan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Amri menggalakkan umat Islam berbuka puasa atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.
"Saya harap masyarakat Islam negara ini tidak memilih hotel yang tidak memiliki sijil halal kerana mencari yang halal adalah wajib dan jauhilah perkara yang meragukan," katanya sambil memberi amaran akan terus memantau hotel-hotel yang mencurigakan.
No comments:
Post a Comment
sila komen secara berhemah