Wednesday, 22 October 2008

30 sijil halal premis ditarik balik

JOHOR BAHRU 21 Okt. - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menarik balik sijil logo halal daripada 30 premis perni-agaan termasuk 15 pusat sembelihan ayam di negeri ini kerana didapati melanggar peraturan yang ditetapkan. Pengarahnya, Datuk Zalil Baron berkata, daripada jumlah itu, 10 kilang memproses bahan makanan dan lima hotel, resort dan restoran di negeri ini turut dikenakan tindakan sama dalam tahun ini. "Tindakan tegas itu diambil selepas pemeriksaan MAIJ mendapati premis-premis itu gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan mengenai status halal," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri MAIJ di Pusat Islam, di sini hari ini. Lebih 1,000 orang menghadiri jamuan tersebut yang turut dihadiri Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot. Zalil berkata, pusat sembelihan yang dibatalkan sijil logo halal kerana penyembelihannya didapati tidak sempurna apabila ayam yang disembelih mati akibat rendaman air panas dan bukannya sebab disembelih. "Terdapat juga yang didapati proses sembelihan yang meragukan apabila ia dilakukan terlalu laju kerana penggilirannya dikawal oleh mesin," katanya. Menurutnya, selain MAIJ, sijil halal untuk pusat sembelihan di Johor dikeluarkan oleh tiga lagi agensi yang dilantik oleh Kerajaan Pusat iaitu Institut Food Research Center (IFRC), South East Asia (SEA) dan Halal Development Corporation. Mengenai hotel dan restoran itu pula katanya, premis itu didapati tidak mematuhi syarat kerana menjual arak, manakala terdapat juga restoran yang didapati mengambil bekalan ayam dari pusat sembelihan tanpa sijil halal. Beliau berkata, kilang memproses makanan itu pula ditarik balik sijil halal kerana didapati persekitaran dan bahan yang digunakan kotor dan meragukan. "Orang ramai yang berasa ragu-ragu terhadap status halal atau haram sesebuah premis diminta membuat aduan atau menghubungi pejabat agama berdekatan bagi tindakan selanjutnya," jelasnya.

1 comment:

  1. la yeke,mesti slh 1nye perniagaan ah siong...
    tu la HDC, nk gak kuar sjl u comp tu...

    ReplyDelete

sila komen secara berhemah