Tuesday 29 April 2008

Makanan di Hotel Halal?

aa
Seperti yang kita maklum apabila seseorang bila makan di hotel , mereka akan mengambarkan makanan yang lazat-lazat dan sedap-sedap.Pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat swasta sering mengadakan kursus-kursus dan function di hotel yang bertaraf 4 / 5 atau berbintang-bintang untuk kakitangannya tanpa memikirkan status makanan yang hendak dimakan adakah halal atau sebaliknya.
Untuk makluman, Jakim hanya mengeluarkan pensijilan Halal Malaysia hanya kepada dapur tidak kepada Hotel.Contoh nya : Sesebuah Hotel terdapat Malay Kicthen , Western Kitchen , Japan Kitchen , Chinise Kitchen.
Auditor Halal , akan mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal hanya kepada kitchen yang bebas dari arak / alkohol / babi / atau apa-apa yang tidak halal dari segi syarak.

Mengikut Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia ,bagi keperluan Premis Makanan Di Hotel :
  1. Keperluan bagi premis makanan yang perlu diberi perhatian untuk tujuan pemeriksaan ialah :
  • Sumber ramuan yang diragui perlu dibuktikan melalui sijil halal yang dikeluarkan oleh badan islam yang diiktiraf seperti bahan mentah , bahan terproses atau bahan tambah,

  • Penyedian dan pengendalian bagi bahan mentah dan ramuan yang berkaitan hendaklah menepati standart halal , kebersihan dan keselamatan yang di khendaki.

  • Ayam dan itik dan seumpamanya hendaklah diperolehi dari pembekal/rumah sembelih yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal dari JAKIM / JAIN /MAIN.

  • Penjualan arak dan seumpamanya tidak dibenarkan

  • Peralatan dan perkakasan hendaklah dibersihkan setiap kali sebelum dan selepas digunakan dan hanya untuk memasak makanan halal sahaja.

  • Susun atur peralatan dan barangan hendaklah kemas ,bersih dan selamat

  • Semua yang terlibat dengan pengendalian makanan ( bahan , dapur ,peralatan , penyimpanan, pembukusan ) mestilah keselruhannya hanya untuk makanan halal.

  • Pemeriksaan dan pengesahan hendaklah dibuat bagi dapur hotel sahaja.

  • Menyediakan dua orang tukang masak muslim yang bekerja sepenuh masa di dapur hotel.

  • Semua peralatan hendaklah dikhaskan bagi penggunaan ruangan hidangan ( dining room ) halal sahaja.

  • Memastikan masakan halal sahaja disediakan di dapur tersebut

  • Tidak menggunakan sebarang ramuan atau bahan mentah yang tidak halal dan meragukan bagi kesemua jenis masakan seperti masakan western food dan chinese food

  • Memastikan dapur hotel berasingan daripada dapur yang tidak halal dan tidak boleh berlaku masuk antara dua dapur

  • Para pekerja adalah tidak di benarkan keluar masuk antara dapur halal dan dapur yang tidak halal

  • arak dan ramuan berunsur arak tidak dibenarkan sama sekali berada dikawasan dapur halal.

Hotel-Hotel yang mendapat pengesahan Sijil Halal Malaysia :

Bil Syarikat Tarikh Tamat Papar Terperinci
1. DYNASTY HOTEL
2. Grand Palace Hotel
Status: Sijil Telah Ditarik Balik
15/07/2009
3. Hotel Armada Petaling Jaya 31/12/2009
4. KINGWOOD HOTEL (SIBU) SDN BHD
5. LOTUS NATION SDN BHD (HOTEL PUTRA) 31/12/2009
6. METROPLEX HOLDINGS SDN BHD (LEGEND HOTEL KL) 31/07/2009
7. Ming Court Hotel (KL) Sdn Bhd (Corus Hotel, Kuala Lumpur) 31/01/2010
8. SEMARAK CAPITAL SDN. BHD. (GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM) 31/12/2009
9. THE PARAMOUNT HOTEL 15/03/2010
10. TIARA LABUAN HOTEL 31/12/2009

Monday 21 April 2008

PUM bantah langkah serah sijil halal Jakim kepada HDC

KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) membantah langkah kerajaan menyerahkan hak pensijilan halal yang selama ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Halal Development Corportion (HDC).

Setiausaha Agung PUM Dr Roslan Mohd Nor ketika mengulas isu tersebut berkata, PUM menyifatkan Pensijilan Halal adalah hak mutlak bagi badan-badan Islam yang berautoriti seperti Jakim atau Jain.

"Langkah memberi hak pensijilan kepada badan-badan selain badan berkenaan lebih-lebih lagi kepada pihak yang cenderung menjaga kepentingan ekonomi semata-mata dikhuatiri akan mengundang keraguan.

"Dan hal ini dihuatiri akan membawa implikasi yang serius terhadap kepentingan umat Islam," kata beliau dalam suatu kenyataan akhbarnya baru-baru ini.

Menurut beliau, semua pihak khususnya kerajaan wajar berhati-hati dalam mengambil langkah berhubung perkara ini.

"Ini kerana, isu halal dan haram dalam makanan melibatkan integriti, darah daging serta maruah umat Islam.

"Sehubungan itu, kami berharap supaya sebarang langkah yang diambil untuk mengubah bidang kuasa yang melibatkan hal ehwal Islam termasuk dalam isu pensijilan halal ini dipandang serius dan ia wajar dibantah," tambah beliau.

Bagi PUM, kata Dr Roslan, pengesahan status sesuatu produk mestilah dilakukan oleh badan-badan Islam yang ada autoriti tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.

Selain itu, menurut suatu sumber, langkah penyerahan pensijilan halal kepada HDC ini mula hangat dibahaskan oleh pihak tertentu yang mula mengesyaki kalau-kalau wujudnya kepentingan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin, dalam HDC.

"Mungkin ada kepentingan ke atas menantu Perdana Menteri dan rakan-rakannya kerana mereka ada kaitan dengan World Halal Forum, Mihas dan Syarikat KasihDia yang mempunyai kaitan rapat dengan Khairy.

"Kami persoalkan hala tuju yang kabur oleh HDC sama ada ia diwujudkan bertujuan mengaut keuntungan atau menjaga kepentingan umat Islam," kata suatu sumber.

Tambah sumber, mekanisme penyerahan tugasan Jakim kepada pihak HDC dibuat secara tergesa-gesa tanpa dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang.

"Difahamkan setakat ini, Peguam Negara juga tidak bersetuju. Hingga kini HDC gagal menerangkan bentuk tugasan yang dilaksanakan oleh HDC secara jelas.

"Antara lain tiada pakar syariah yang mengetahui selok-belok hukum hakam berkaitan halal, haram dan syubhah. Sedangkan asas penentuan halal dan haram ataupun syubhah adalah tugas ulamak dan pakar syariah," kata sumber berkenaan. - mns

Friday 11 April 2008

Hala Tuju Pegawai Hub Halal JAKIM

10 April, 2008 23:33 PM

JAKIM Terus Laksana Latihan Pegawai Penyelidik Industri Halal

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus melaksanakan latihan bagi pegawai penyelidik yang menjalankan penyelidikan berkenaan industri halal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Katanya mereka mesti tahu perkara-perkara yang perlu difahami untuk menentukan sama ada sesuatu barang itu halal atau pun tidak. Menurut Abdullah, Kabinet telah memberi mandat kepada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi negara ini, mengambil alih tugas Jakim sebelum ini. "Peranan mengeluarkan sijil halal diberi kepada HDC tetapi sijil halal yang dikeluarkan itu ialah sijil dan logo Jakim kerana sijil halal ini telah digunakan sekian lama, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di sini hari ini. Abdullah berkata integriti sijil halal ini telah pun diiktiraf dan diakui dan standardnya juga telah digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). "Jadi dengan itu kita tidak menggunakan sijil-sijil halal yang lain," katanya. Beliau berkata peranan HDC sebagai badan yang mengeluarkan sijil halal itu akan terus mempromosikan industri halal di negara ini dan bersama dengan jabatan-jabatan dan badan-badan yang lain seperti Perbadanan Kemajuan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC). Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerja-kerja yang bersabit dengan penyelidikan dan sebagainya yang berkaitan dengan keperluan pengeluarkan sijil halal itu akan terus dilakukan oleh pegawai yang berkhidmat dengan JJAKINM. "Jadi ia tidak bermakna akan digantikan dengan orang lain. Pegawai-pegawai penyelidik yang ada di situ akan terus digunakan tetapi mereka akan berkhidmat di bawah HDC," jelas beliau.

Thursday 10 April 2008

Mengapa Perlu Makan Menggunakan Tangan


Setiap bangsa di dunia ini punya budaya tersendiri. Oleh sebab makan itu satu perkara yang wajib dalam hidup, cara makan juga merupakan satu budaya. Masing-masing bangsa ada budaya mereka tersendiri bagaimana mereka makan.

Misalnya orang Cina menggunakan kayu (chopstick) dan orang Barat pula menggunakan sudu dan garfu. Tentu ada sebab yang rasional kenapa mereka amalkan cara itu.

Orang Melayu makan biasanya menggunakan tangan kanan. Apakah rasionalnya dan kenapa orang Melayu makan dengan tangan ?

Soalan ini dijawab dengan mudah di akhir abad ke-19 oleh seorang kerabat diraja Kedah yang menetap di Selangor bernama Tengku Kudin. Perkara ini diceritakan oleh seorang isteri pegawai tinggi British yang berkhidmat di Selangor pada masa itu dalam bukunya "Chersonese - The Guilding Off" oleh Emilly Innes.

Pada suatu hari Tengku Kudin telah dijemput oleh British Resident menghadiri satu jamuan makan malam di rumah resident tersebut.

Ketika semua tetamu jemputan telah bersedia untuk menghadapi hidangan, Tengku Kudin tiba-tiba bangun menuju ke arah paip air dan membasuh tangannya. Tanpa menghiraukan orang lain semuanya menggunakan sudu dan garfu, beliau dengan selamba menyuap makanan ke mulutnya dengan tangannya......... !

Telatah Tengku Kudin ini diperhatikan oleh seorang wanita Inggeris yang
kebetulan duduk di sisinya. Merasa tertarik dengan perlakuan Tengku Kudin itu wanita tersebut lantas bertanya: "Kenapa anda makan dengan tangan ?

Bukankah menggunakan sudu dan garfu itu lebih bersih dan lebih sopan ?"

Dengan selamba Tengku Kudin menjawab lantang dan dapat didengari oleh orang lain. Katanya:

"Saya makan dengan menggunakan tangan saya sekurang-kurangnya ada tiga sebab:

Pertama: Saya tau tangan saya lebih bersih dari sudu dan garfu sebab
saya sendiri yang membasuhnya - bukan orang lain. Sudu dan garfu itu
dibasuh oleh orang lain yang belum tentu cukup bersih.

Kedua: Saya yakin tangan saya lebih bersih kerana tangan saya hanya
saya seorang saja yang menggunakannya - tidak pernah dipinjam oleh orang lain, sedangkan sudu dan garfu itu ramai yang pernah menggunakannya.

Ketiga: Saya percaya tangan saya lebih bersih kerana ia tidak pernah
jatuh dalam longkang.... ......... !!

Jawapan Tengkun Kudin ini menjadikan semua orang yang mendengarnya
terlopong. Kalau sebelum itu ada antara mereka yang tersenyum sinis melihat Tengku Kudin menyuap makanannya dengan tangan tapi selepas itu masing-masing mengangguk mungkin kerana memikirkan ada logiknya jawapan tersebut....

Kes Saman Perak Duck & Pasaraya Tesco


Untuk makluman tiga pembekal ayam dan pasaraya Tesco disaman Rm5juta kerana menjual ayam yang tidak disembelih / Nst 26ms

Wednesday 9 April 2008

Pengguna Perlu Peka Dengan Status Halal

Orang ramai mesti buat aduan segera jika ragu taua was-was dengan sesuatu produk KAJIAN semasa menunjukkan Islam adalah agama dianuti paling ramai penduduk dunia, anggarannya mencecah dua bilion pada 2010. Oleh itu, industri halal kini semakin berkembang kerana permintaan barangan halal semakin meningkat. Mengikut HalalJournal.com, industri halal dijangka mencecah AS$580 bilion dan meningkat pada kadar tujuh peratus setiap tahun.

Menyentuh soal halal, negara kita memang sudah lama menetapkan penggunaan barangan halal sama ada yang dihasilkan di dalam atau luar negara. Namun, adakah produk yang disahkan halal ini benar-benar halal dan sejauh manakah pemantauan yang dilaksanakan pihak bertanggungjawab? Ini yang menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam sehingga berasa was-was setiap kali membeli sesuatu barangan. Misalnya, baru-baru ini ada yang mempersoalkan proses pembuatan tauhu yang dikatakan kotor dengan anjing berkeliaran di kawasan sekitarnya. Sebagai seorang pengguna Islam bagaimanakah mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai barangan yang dibeli itu benar-benar halal dan bagaimanakah cara memprosesnya?

Apabila perkataan halal digunakan dalam apa jua bentuk perdagangan atau perniagaan maka ia tiada mengandungi bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang hukum syarak atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak. Selain itu, penyediaan, pemprosesan dan penyimpanannya tidak bersentuhan atau berdekatan dengan sebarang makanan yang tidak mengikut hukum syarak. “Status halal dan logo halal diperkenalkan Jakim pada 1971. Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan logo halal. Malah, sejak 2004, negara ini memperkenalkan piawaian halalnya sendiri, MS 1500, yang kini menjadi ikutan seluruh dunia.

“Bagi memastikan piawaian sijil halal ini benar-benar sah, Jakim melantik 44 organisasi Islam luar negara menjadi wakil yang mengesahkan sesuatu produk itu halal atau tidak. Tempoh logo halal pula hanya dua tahun dan ia perlu diperbaharui, Pemohon yang layak memohon sijil halal di mana ia hanya terbuka kepada pengeluar/pengilang produk, pengedar barangan, pengeluar sub kontrak, pembungkusan semula, pengusaha premis makanan dan rumah sembelihan. Jika permohonan mereka agak meragukan, Jakim tidak teragak-agak menolak permohonan mereka, misalnya;

  • Syarikat mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal.
  • Produk yang tidak halal.
  • Bahan semula jadi yang tidak membabitkan sebarang pemprosesan.
  • Ubat-ubatan atau produk yang dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • Produk siap diproses yang dikeluarkan di luar negara.
  • Produk yang menggunakan nama sinonim dengan istilah yang mengelirukan seperti bak kut teh.
  • Baja dan makanan binatang. Bagi memastikan setiap pemegang sijil halal mematuhi setiap syarat ditetapkan, enam bulan pertama selepas mendapat sijil pengesahan halal, Jakim akan mengadakan pemeriksaan mengejut. Pemantauan juga dilakukan secara tiga peringkat iaitu secara berkala, aduan dan pemeriksaan mengejut. Jika pengusaha atau pemilik premis didapati bersalah mereka boleh didenda RM100,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Justeru, jika ada yang berasa ragu atau was-was dengan sesuatu barangan, mereka perlu membuat aduan segera kerana Jakim tidak berkompromi hal halal haram ini. Selain Jakim, jawatankuasa yang menilai halal haramnya sesuatu produk itu terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan, Mardi dan universiti tempatan. Dari segi teknikal atau ujian, kebanyakannya dilakukan Mardi. Mardi sentiasa memantau bahan digunakan dalam produk yang berada di pasaran. Sebenarnya banyak bahan tambahan dalam makanan yang meragukan misalnya gelatin (dihasilkan daripada lemak binatang) yang banyak digunakan di dalam makanan tetapi kini ramai mendakwa mereka menggunakan gelatin diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Selain gelatin, antara senarai bahan tambahan yang meragukan termasuk enzim, keju, kolagen, lecitin, emulsi, tallow (lemak binatang) dan dadih. Tidak dinafikan peranan Jakim dan badan bertanggungjawab lain di dalam memastikan produk halal benar-benar halal cukup penting, Namun, tindakan bersepadu perlu supaya hal halal haram ini tidak diambil mudah. Sebagai pengguna, kita mengharapkan soal halal haram diberi keutamaan. Kita juga mengharapkan agar penyelesaian yang menyeluruh, bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’. Sebagai pengguna, kita perlu bersikap berani dan tegas. Sentiasa mengambil tahu dan peka pada setiap barangan yang kita beli supaya status halalnya sentiasa terjamin.
  • HDC Bukan Ambil Kuasa JAKIM

    HDC Bukan Ambil Kuasa Jakim, Kata Ahmad Zahid

    KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) yang akan bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal bukan bermaksud untuk mengambil alih kuasa daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Beliau berkata sebaliknya hal berkaitan pengeluaran sijil halal dan promosi produk halal akan diletakkan di bawah satu bumbung bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat antarabangsa. "Apabila HDC menggunakan logo halal yang selama ini dikeluarkan oleh Jakim maka ini bukanlah pengambilalihan kuasa oleh HDC daripada Jakim. "Sebaliknya untuk diletakkan sebagai sebuah one-stop agency yang menggabungkan Jakim, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Halal Forum dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari Sabtu. Semalam, Ahmad Zahid berkata HDC akan mengambil alih peranan MITI dari segi mempromosi, memasar dan mengadakan pameran produk dan perkhidmatan halal. Rabu lepas, HDC diberi mandat oleh Kabinet untuk mengambil alih peranan Jakim bagi mengeluarkan sijil-sijil halal di negara ini. HDC juga bertanggungjawab mengeluarkan sijil-sijil halal antarabangsa. Ahmad Zahid berkata peranan baru HDC itu juga tidak menjejaskan proses pengeluaran sijil halal peringkat negeri kerana standard dan piawaian yang digunakan masih sama seperti Jakim. "Sebelum ini, majlis dan jabatan agama peringkat negeri memberikan kuasa kepada Jakim mengenai logo dan sijil halal, maka kuasa pihak negeri dan perjanjian itu masih kekal. "Sekarang bukan soal pengambilan kuasa sedia ada di peringkat negeri tetapi penyelarasan sahaja dibuat oleh HDC dan Jakim serta para pegawainya masih diguna pakai," katanya. Beliau berkata spesifikasi yang digunakan bagi mengeluarkan sijil halal selama ini akan terus diaplikasikan serta ditambah baik bagi mempercepatkan pengeluaran sijil itu. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mulai tahun depan, sambutan Maulidur Rasul akan diperhebatkan lagi dengan mengadakan sambutan serta perarakan besar-besaran bagi menterjemahkan sirah Rasulullah S.A.W. "InsyaAllah, kita akan buat lebih besar lagi tahun depan, ini bukannya untuk menunjukkan riak atau takbur tetapi menunjukkan seluruh umat Islam bersatu padu menjunjung sirah Nabi," katanya. Beliau berkata hadiah untuk penerima anugerah dan tokoh Maulidur Rasul juga akan ditingkatkan nilainya sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan yang diberikan dalam menegakkan syiar Islam dan memajukan negara. "Saya sedia maklum bahawa jabatan saya kurang peruntukan tetapi kita akan cari penajaan dari pihak luar untuk meningkatkan nilai hadiah, walaupun nilai wang dan anugerah bukanlah nilai sebenar sumbangan tokoh-tokoh ini tetapi penghargaan yang diberi adalah satu pengiktirafan yang tinggi," katanya. Pada majlis hari ini, Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada tiga penerima iaitu Mohamad Ali Mohamad Zaki bagi kategori Pelajar Cemerlang, Abdul Hanif Harun untuk Pendakwah Cemerlang manakala Jaafar Daud bagi kategori Sukarelawan Cemerlang. -- BERNAMA

    Kerjasama Halal 2

    HDC Akan Main Peranan Utama Promosi Produk Dan Perkhidmatan Halal

    KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) akan mengambil alih peranan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari segi mempromosi, memasar dan mengadakan pameran produk dan perkhidmatan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi. HDC di perbadankan pada 18 Sept, 2006 sebagai syarikat swasta milik penuh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan. "Kabinet memutuskan bahawa peranan MITI dalam mempromosi, memasar dan mengadakan pameran produk-orudk halal akan diambil alih oleh HDC. "Ia bertujuan mengelak kekeliruan. Oleh itu Kabinet memutuskan hanya satu badan sahaja (memantau) pembangunan industri halal," katanya kepada pembrita selepas melawat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini. Ahmad Zahid mengulas mengenai tawaran MITI supaya HDC memain peranan utama dalam mempromosikan negara sebagai hab halal. Pada Rabu, HDC diberi mandat oleh Kabinet untuk mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengeluarkan sijil-sijil halal di negara ini. HDC juga bertanggungjawab mengeluarkan sijil-sijil halal antarabangsa. Bagi memastikan peralihan yang lancar selain bantuan, Ahmad Zahid berkata Jakim akan memindahkan beberapa pegawainya ke HDC bagi membantu proses pensijilan halal itu. Peralihan itu bakal menyaksikan sistem pensijilan halal, yang meliputi e-halal, dokumentasi dan pengurusan, serta hak logo halal Malaysia, diserahkan kepada HDC. Langkah itu juga bertujuan menyegerakan pengeluaran sijil halal. Pada masa ini, Jakim mengambil msa kira-kira dua bulan untuk mengeluarkan sijil halal. Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Jamil Bidin berkata bagi sijil halal antarabangsa, HDC sudah bersedia mengeluarkannya, terutama menerusi pemasangan sistem teknologi maklumat yang berkesan. "Kami sudah menerima banyak permohonan daripada beberapa negara yang sudah mendaftar untuk mendapatkan sijil halal antarabansga ini. Pada masa ini, jumlahnya kira-kira 40 syarikat, antara lain dari Thailand, Indonesia dan Turki," katanya. Mengenai pelan induk industri halal, Jamil berkata ia dijangka diserahkan kepada Kabinet dalam masa terdekat. -- BERNAMA

    Kerjasama Halal

    07 April, 2008 13:49 PM

    MITI Akan Bekerjasama Dengan HDC Bangunkan Industri Halal, Kata Muhyiddin

    PETALING JAYA, 7 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam mempercepatkan pembangunan industri halal di negara ini bagi memenuhi permintaan dari luar negara. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin berkata pihaknya akur dengan keputusan kabinet untuk mengekalkan HDC di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). "Kita bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kekalkan HDC di bawah JPM) dan akan bekerjasama dengan HDC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Anugerah Produktiviti 2006/2007, Isnin. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MITI akan mengambil-alih HDC. "Tujuan kita bukan nak mengambil-alih urusan untuk mendapatkan sijil halal, kita nak terlibat dalam usaha untuk mempercepatkan proses pembangunan industri ini kerana tidak ada gunanya kita buat promosi seluruh dunia, Malaysia jadi hab sebagai pengeluar makanan halal tetapi di negara sendiri, kita belum bangunkan satu pembangunan industri halal yang berdaya maju," katanya. "Kalau ada pun, jumlahnya kecil, kalau dari segi saiz pun, tidak sebesar mana, jadi kita tidak boleh jual secara besar-besaran. Bila orang nak buat pesanan, tidak ada bekalan. Jadi, kita mesti ada satu perancangan," katanya lagi. Beliau berkata pembangunan industri halal juga merupakan sebahagian daripada urusan MITI kerana ia adalah sebuah agensi untuk mempromosikan industri termasuk industri makanan dan bukan makanan. Muhyiddin berkata beliau akan berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif HDC dalam jangka masa terdekat untuk mendapatkan maklumat berkenaan persediaan yang HDC telah lakukan untuk memajukan industri halal termasuk perbentangan "Pelan Induk bagi Pembangunan Industri Halal." Kabinet pada mingu lepas telah menetapkan bahawa HDC adalah badan yang bertanggung jawab untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi negara ini, mengambil-alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. HDC akan mengeluarkan sijil dan logo halal Jakim yang telah digunakan selama ini dan dikenali ramai. HDC ditubuhkan pada 2006 oleh Jabatan Perdana Menteri dengan objektif meletakkan Malaysia sebagai Hab Halal Global dan memacu perkembangan industri halal seluruh dunia. -- BERNAMA

    Kelulusan Kabinet

    Kabinet Lulus HDC Sebagai Pengeluar Sijil Halal

    PUTRAJAYA, 2 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), telah diberi mandat oleh Kabinet hari ini untuk mengeluarkan pensijilan halal bagi negara ini, mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau berkata ia berkuatkuasa serta merta. "Pihak HDC sudah boleh mengeluarkan sijil ini secepat mungkin dan ini bermakna agensi yang mengeluarkan sijil dan logo halal di bawah Jakim akan berubah dan beroperasi di bawah HDC," katanya kepada Bernama ketika di temui setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di Perdana Putra, pejabat Perdana Menteri, untuk membincang perlantikan anggota exco negeri itu. Menurut Abdullah, HDC akan mengeluarkan sijil dan logo halal Jakim yang telah digunakan selama ini dan dikenali ramai. Beliau berkata pensijilan halal untuk negara ini telah diterima pakai oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Menurut Abdullah, ketika ini sudah terdapat 40 buah syarikat termasuk dari luar negera yang sedang menunggu untuk mendapat sijil berkenaan. "Maka dengan keputusan ini pengeluaran sijil ini dapat dipercepatkan," kata beliau. HDC ditubuhkan pada 2006 oleh Jabatan Perdana Menteri dengan objektif meletakkan Malaysia sebagai Hab Halal Global dan memacu perkembangan industri halal seluruh dunia. Selain itu, mesyuarat Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di Dakar, Sudan baru-baru ini, telah memutuskan supaya Malaysia menjadi pengeluar sijil halal di samping menjadi hub atau pembangunan industri halal. Dengan itu, kata Abdullah, HDC boleh mengeluarkan pensijilan halal antarabangsa termasuk negara-negara OIC menggunakan Logo Jakim yang di terima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. -- BERNAMA